Jangan kacau kerja Cheng Hoe

Cheng Hoe secara rasmi diumum sebagai pengendali baharu Selangor FC pada Sabtu. - Foto FB Selangor FC
Cheng Hoe secara rasmi diumum sebagai pengendali baharu Selangor FC pada Sabtu. - Foto FB Selangor FC
A
A
A

PELANTIKAN bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Selangor FC nyata mendapat respons positif daripada pemerhati bola sepak tanah air.

Bagi bekas pemain kebangsaan Azlan Johar berpandangan, tindakan melantik pengendali berusia 54 tahun dilihat merupakan tindakan bijak memandangkan Cheng Hoe merupakan antara individu yang memahami falsafah bola sepak moden ketika ini.

Menurut Azlan, sekiranya pihak pengurusan dapat memberikan sokongan padu dan memberi kebebasan kepada Cheng Hoe untuk mengatur strategi yang dimahukan, beliau percaya gergasi merah yang sebelum tidur mampu bangkit semula.

“Pertama sekali saya nak ucap tahniah dan syabas kepada Cheng Hoe. Bagi saya Selangor mengambil tindakan yang tepat kerana beri peluang kepada jurulatih tempatan seperti Cheng Hoe untuk mengemudi kelab.

“Malah Cheng Hoe juga merupakan antara jurulatih tempatan yang memahami falsafah bola sepak moden. Kalau kita lihat dulu, dia merupakan antara jurulatih terawal mulakan hantaran pendek ketika mengendali Kedah itu yang mana ketika itu tidak ramai yang tahu untuk menggunakannya.

“Jadi saya berharap dengan pelantikan ini, Selangor dapat beri kebebasan kepada Cheng Hoe dan jangan cuba menghalang atau cuba ajar apa yang dia perlu lakukan. Saya percaya Cheng Hoe mampu untuk menggalas jawatan ini dengan baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Sabtu, Selangor FC menamatkan teka teki apabila mengumumkan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baharu pasukan itu.

Pengumuman itu dibuat Selangor FC dalam satu kenyataan sambil memberitahu kelab itu percaya bahawa Cheng Hoe adalah calon terbaik untuk membawa pasukan ini ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

Turut senada pandangan bersama Azlan adalah bekas legenda Selangor, Khalid Ali yang menyifatkan Selangor membuat keputusan yang tepat apabila melantik Cheng Hoe bagi mengemudi pasukan itu.

Malah, beliau turut memuji pengurusan Selangor yang memberi peluang kepada Cheng Hoe untuk melatih pasukan lebih awal berbanding memulakan tugas pada awal musim depan.

“Saya rasa ia satu tindakan yang tepat buat Selangor mengarahkan Cheng Hoe memulakan tugasnya dengan serta merta. Sebab kalau Selangor masih beri kepercayaan kepada Nidzam untuk mengendalikan pasukan sehingga hujung musim ia akan sedikit membantutkan persiapan pasukan.

“Jadi dengan cara ini, Cheng Hoe akan ada lebih masa untuk menilai pasukan sebagai persiapan pada musim depan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!