Hutang Perancis dijangka lepasi RM13.31 trilion
PARIS - Hutang Perancis dijangka melepasi paras tiga trilion euro (RM13.31 trilion) dalam tempoh beberapa minggu akan datang, menurut kenyataan Menteri Tindakan Awam dan Akaun Perancis, Gabriel Attal yang disiarkan oleh sebuah akhbar negara itu pada Ahad.
"Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, kami akan mengatasi paras hutang tiga trilion euro," kata Attal kepada akhbar Journal du Dimanche.
Perancis akan membelanjakan sebanyak 51.7 bilion euro (RM229.46 bilion) untuk membayar hutang awamnya pada tahun depan.
Menteri itu turut menambah bahawa kerajaan akan melaksanakan pembaharuan pencen yang dianggap oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai satu keperluan.
Macron sebelum ini berjanji akan melakukan pembaharuan dalam perkhidmatan pencen seperti kemungkinan menimbangkan untuk menaikkan had umur persaraan daripada 62 tahun kepada 65 tahun.
Sebelum wawancara itu disiarkan, Institut Statistik dan Penyelidikan Ekonomi Kebangsaan (Insee) Perancis melaporkan bahawa hutang awam negara itu pada akhir suku pertama 2022 ialah 2,901.8 bilion euro (RM12,881.09 bilion) atau 114.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tersebut.
Menurut laporan tersebut, peningkatan mendadak itu disebabkan oleh peningkatan hutang jabatan kerajaan yang naik sebanyak 64.8 bilion euro (RM287.65 bilion) dan kenaikan dalam struktur insurans sosial sebanyak 25.6 bilion euro (RM113.64 bilion). - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!