Kadar kelahiran tinggi punca katil wad bersalin sesak
TANJONG KARANG - Kadar kelahiran tinggi pada September hingga November menjadi punca kepada kesesakan katil di wad bersalin di hospital seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, trend kelahiran pada tiga bulan itu tinggi pada setiap tahun.
"Kemuncak peningkatan kelahiran pada bulan Oktober dan trend peningkatan ini berlaku secara bermusim serta bersifat sementara," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hospital Tanjong Karang pada Isnin.
Khairy menjelaskan, peningkatan jumlah kelahiran juga berlaku disebabkan peningkatan kes tekanan darah tinggi dan kolesterol serta penyakit tidak berjangkit lain yang memerlukan rawatan di wad hospital.
Selain itu, katanya, faktor lain seperti rawatan bayi baru lahir yang tinggal lama dalam wad.
"Ada juga faktor pesakit tidak dapat discaj awal di wad kerana mereka berdepan kekangan seperi kemungkinan ahli keluarga yang bekerja dan belum bersedia untuk datang mengambil pesakit tersebut," kata beliau.
Justeru, Khairy menjelaskan, antara langkah jangka masa panjang bagi menangani perkara itu, kementeriannya sedang berusaha memperkukuhkan penguruan katil di wad bersalin.
Kata beliau, antara tindakan yang boleh dilakukan seperti mempercepatkan proses discaj untuk kes berisiko rendah serta mengurangkan masa menunggu di wad.
"Selain itu, kita turut merancang menyediakan katil tambahan di hospital berdekatan selain membuat penilaian ke atas wanita bersalin berisiko rendah boleh dihantar ke pusat bersalin risiko rendah supaya tidak sesak di hospital.
"Kita juga akan menambah kakitangan kesihatan yang melakukan proses kelahiran terutama bagi kes berisiko rendah," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, katil di wad bersalin hospital kerajaan sesak dan ada dalam kalangan wanita mengandung ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi.
Malah ada di antara mereka terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil, selain berdepan pelbagai kesulitan, antaranya terpaksa merujuk ke beberapa hospital sebelum diterima masuk ke wad kerana alasan sama, iaitu jumlah pesakit dalam satu masa terlalu ramai dan kekurangan katil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!