Bot, perahu nelayan terkandas sungai makin cetek
KOTA BHARU - Keadaan sungai Pengkalan Datu di Pangkalan Sabak, Pulau Gajah di sini yang semakin hari semakin cetek menyebabkan lebih 72 bot serta perahu kolek milik 300 nelayan terkandas.
Tambah menyedihkan apabila mereka berdepan kesukaran untuk turun ke laut bagi menangkap ikan malah ramai yang terjejas pendapatan sehingga 50 peratus kerana tidak dapat mencari rezeki di lautan.
Ketua Pangkalan Sabak Pulau Gajah, Nik Ruzullaili Nik Yusuff berkata, masalah sungai cetek di kawasan tersebut sudah bersilih ganti berlaku sejak 10 tahun lalu dan beberapa kali aduan dibuat kepada pihak bertanggungjawab untuk membela nasib mereka.
“Pangkalan ini adalah kawasan pengumpulan 32 perahu kolek dan 40 bot fiber milik lebih nelayan-nelayan Pantai Sabak sejak 25 tahun lalu namun makin lama sungai makin cetek hingga ada waktu hanya tinggal kurang 0.3 meter kedalaman air.
“Bot-bot dan perahu-perahu itu tersangkut pada lumpur serta tidak dapat diturunkan ke laut oleh nelayan untuk menangkap ikan. Dalam tempoh sebulan, hanya seminggu sahaja dapat ke laut,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Sabak, Pulau Gajah di sini pada Isnin.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mereka hanya bergantung kepada keadaan air yang benar-benar pasang untuk membawa bot mereka ke tengah sungai dan seterusnya ke lautan.
Seorang nelayan, Azman Ya, 58, berkata, terpaksa meletakkan bot sejauh 500 meter di tengah-tengah sungai dari Pangkalan Sabak dan bermalam di dalam bot bagi membolehkan dia keluar menangkap ikan di laut pada jam 3 atau 7 pagi.
“Kalau tak tidur dalam bot, pagi esok tak boleh keluar ke laut kerana bot tersangkut pada lumpur di dasar sungai.
“Sekitar jam 1 hingga 4 petang balik ke pangkalan sekali lagi bot tersekat dan tidak boleh masuk rapat ke pangkalan kerana air yang cetek itu. Terpaksa pula punggah hasil tangkapan untuk dibawa ke daratan,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Mohd Rizuwan Ramli, 41, berkata, masalah sungai cetek itu menyebabkan kerosakan pada kipas dan enjin bot apabila peralatan itu tersangkut di dalam lumpur.
“Setiap tahun mesti ada tiga hingga empat kes kerosakan kipas bot. Bagi perahu kolek kos membaiki kipas itu boleh mencecah RM300 manakala bagi enjin bot fiber boleh kerugian sehingga RM3,000.
“Kali terakhir kedalaman sungai dibuat pada 10 tahun lalu dan saya sangat berharap pihak berwajib prihatin untuk mendalamkan sungai ini sekurang-kurangnya tiga meter supaya nelayan dapat terus mencari sumber rezeki di lautan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!