Bantuan RISDA beri nafas baharu industri pelancongan
HULU TERENGGANU – Seorang pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir, di sini meluahkan rasa syukur selepas terpilih menerima Skim Insentif Nano sumbangan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Asri Mat Isa, 51, dari Kampung Pasir Dula yang mengusahakan dua rumah bot dinamakan Kelah Hunter Houseboat mendapat bantuan RISDA berupa dua enjin bot, dua bot fiber dan 40 helai jaket keselamatan bernilai RM20,000 pada April lalu.
Menurut Asri, bantuan itu membantu meningkatkan keselamatan, memberi keselesaan dan memudahkan pengunjung rumah bot miliknya menikmati keindahan destinasi pelancongan popular itu.
“Nak beli bot dan enjin ini saya tidak mampu kerana harganya mahal, kena kumpul duit. Jadi bila dapat bantuan ini saya sangat berterima kasih dan harap ia dapat memajukan perniagaan,” katanya di sini pada Jumaat.
Bapa kepada enam anak ini mempunyai dua rumah bot masing-masing bersaiz 14 bilik dan lima bilik dengan setiap satunya mampu memuatkan 30 serta 25 penumpang yang dikendalikan oleh tiga pekerja.
Menyingkap sejarah perniagaannya, Asri mengusahakan empat rumah bot pada tahun 1996, namun terpaksa menjual dua daripadanya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyiapkan usaha menaiktaraf rumah bot kepada saiz lebih besar.
Isterinya, Suhaili Abu Bakar, 46, merupakan seorang pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan kelebihan itu melayakkan dirinya menerima bantuan sebagai usahawan bimbingan RISDA.
“Saya merancang untuk mengembangkan perniagaan ini dengan membeli sebuah lagi rumah bot baharu pada masa akan datang, namun ia akan ambil masa kerana harganya mencecah RM500,000.
“Industri pelancongan ada pasang surutnya, namun saya harap bantuan RISDA ini dapat membantu mencapai impian ini selain meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya yang memperoleh pendapatan kasar RM15,000 sebulan.
Nama: Asri Mat Isa
Alamat: Pengkalan Sungai Gawi, Tasik Kenyir, 21700 Kuala Berang, Hulu Terengganu.
No Tel: 019-9649210
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!