Pengunjung teruja tengok aset ATM
KUANTAN - Orang ramai mengakui teruja ketika menyaksikan pertunjukan udara dan kompetensi aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena sambutan Hari ATM ke-89 di Pangkalan Udara Kuantan dekat sini.
Rata-rata pengunjung ketika ditemui Sinar Harian gembira kerana berpeluang melihat secara dekat aset-aset yang menjadi kekuatan negara terutama pesawat pejuang.
Bagi suri rumah, Roskamisah Jawat, 52, berkata, peluang untuk melihat aset- aset sebegini sememangnya dinantikan selepas mendapat tahu ada Hari Terbuka ATM.
"Saya datang sini sebab hendak tengok aset-aset ATM seperti pesawat pejuang, helikopter dan kenderaan perisai yang sebelum ini hanya dengar nama serta melihat dari jauh.
"Hari ini, saya dapat melihat aset ini di depan mata dan berpeluang melihat kepelbagaian anggota pertahanan seperti Tentera Darat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Laut yang memakai pakaian mereka," katanya ketika ditemui di Pengkalan Udara Kuantan pada Isnin.
Sambutan Hari ATM ke-89 dihadiri hampir 15,000 pengunjung untuk menyaksikan perbarisan tempur, demonstrasi keupayaan dan kompetensi aset ATM di Pengkalan Udara Kuantan.
Sambutan bertemakan Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama itu disempurnakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Ibu kepada tujuh anak itu memberitahu simulasi serangan udara yang dipamerkan membuktikan keupayaan ATM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
"Bila tengok semua ini (aset dan keanggotaan ATM) saya jadi bangga dengan mereka untuk berjuang di medan perang dan itu bukan sesuatu yang mudah," ujarnya. sempena hari ATM.
Seorang lagi pengunjung, Nuliyana Aziz, 35, pula sanggup datang dari Kuala Terengganu semata-mata untuk melihat perbarisan tempur, demonstrasi aset-aset ATM secara dekat.
Menurutnya, dua anaknya paling teruja untuk melihat pesawat pejuang, helikopter dan pelbagai aset ATM lain sehingga mereka tidak sabar menunggu pagi.
"Malam tadi (Ahad) mereka tak lena tidur sebab semangat hendak datang ke sini. Saya sampai ke Kuantan petang semalam dan menginap di hotel sebelum datang ke sini.
"Bila datang sini, berbaloi sebab saya dan anak-anak dapat melihat pesawat pejuang dengan lebih dekat. Paling menarik demonstrasi peperangan yang mendedahkan fungsi aset ATM untuk pengetahuan pengunjung," jelasnya gembira.
Dalam pada itu, Muizzuddin Mohd Rosli, 31, yang merupakan penjawat awam pula sanggup mengambil cuti semata-mata meluangkan masa bersama anak dan isteri untuk melihat aset ATM.
"Seronok bila nampak pesawat depan mata dan tambah pengetahuan untuk mengetahui nama-nama aset negara dengan lebih tepat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!