Pas tahu pendirian DAP, Anwar sedia dedah bukti
ALOR SETAR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia mendedahkan bukti perjanjian antara PKR, DAP dan Pas ketika dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) bagi menepis dakwaan DAP menolak Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, tiga pemimpin utama parti, iaitu Lim Kit Siang dan Tan Sri Abdul Hadi Awang termasuk dirinya telah menandatangani perjanjian PR yang menerima Perlembagaan, dengan mengiktiraf bahasa Melayu dan agama Islam sebagai bahasa dan agama rasmi negara.
Menurutnya, pendirian DAP itu dalam pengetahuan Abdul Hadi namun setelah gabungan tersebut berpecah, Pas melabel DAP sebagai anti perlembagaan.
Lim Kit Siang, Abdul Hadi dan saya tandatangani perjanjian itu, bermakna Abdul Hadi tahu pendirian DAP. Selepas itu dikatakan DAP lawan perlembagaan dan tolak bahasa Melayu.
"Ini tidak betul. Kalau tanya mana bukti? Saya boleh bagi ada rekod pada kami semua pimpinan,” katanya ketika berucap pada program ceramah di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Suka Menanti di sini pada malam Ahad.
Anwar berkata, selain DAP, dirinya turut dijadikan sasaran dengan mendakwa menjadi alat kepada DAP.
“Didakwa semua DAP tentukan. Anwar jadi alat DAP. Memang betul saya baik dengan DAP tetapi saya tak tolak ansur kalau isu seleweng atau rasuah.
“Benda yang salah tetap salah. Semua kaum kalau terpalit kes rasuah, kita ambil tindakan tanpa mengira Cina, India, Melayu atau Siam,” katanya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut memperjelaskan dakwaan sebahagian pihak yang mempertikaikan kelayakan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Ada orang kata Anwar tak layak jadi Perdana Menteri sebab dia ketuai parti pelbagai kaum, kena parti Melayu saja. Saya nak jawab, saya orang Melayu dan tak akan pertikai apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau saya jadi Perdana Menteri, saya perlu jaga semua kaum, bukan Melayu saja. Tapi kalau saya mahu bukan Melayu sokong saya, saya mesti jaga dan kasih pada mereka. Untuk jadi pemimpin yang baik, mesti jaga semua rakyat, bukan satu kaum.
“Apa kurangkah Islam saya? Kurangkah semangat Melayu saya? Tidak! Jangan kita terpukau dengan janji-janji kosong segelintir pihak,” ujarnya lagi.
Menurut Anwar, PH bersedia membawa pembaharuan dalam negara menerusi satu pasukan merangkumi PKR, DAP dan Parti Amanah Nasional (Amanah) dan gagasan itu harus diperkuatkan bagi menghadapi saingan PRU15.
“Ada kata dulu PH tak boleh buat. Kalau tak buat apa, orang tak tahu kes 1MDB. Banyak yang kami tak buat, saya mengaku sebab ketika itu Perdana Menteri orang Kedah.
“Sekarang bagi kami peluang, kita ada tokoh yang sanggup bawa perubahan. Kita nak menang sebagai satu pasukan sebab kita nak lawan dengan puak yang ada duit banyak. Lawan tetap lawan sampai ke penghujung,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!