Polis rampas RM2.1 juta arak tak bercukai

Antara minuman keras yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, Klang pada Rabu.
Antara minuman keras yang dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, Klang pada Rabu.
A
A
A

KLANG - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket menjual arak tidak bercukai bernilai RM2.1 juta melalui penahanan 10 orang suspek dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Risik Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih bersama Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.

"Polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun dan sembilan suspek lelaki warga asing lingkungan umur 22 hingga 46 tahun.

"Semasa tangkapan pihak polis berjaya merampas 48,990 botol dan 480 tin pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini pada Isnin.

Arjunaidi berkata, sindiket berkenaan menyewa premis gudang berpagar itu untuk dijadikan stor simpanan minuman keras sejak tiga bulan lalu dan dipercayai telah aktif selama enam bulan.

"Bekalan minuman keras ini dipercayai dibawa masuk dari luar negara dan disimpan di gudang untuk dijual di sekitar Klang.

"Siasatan awal mendapati, kesemua tangkapan adalah pekerja sambilan yang telah diupah untuk menguruskan penyusunan minuman keras di dalam gudang," katanya.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengesan pemilik premis dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pengurus premis terbabit untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman 14 hari bermula 22 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!