Rouxin dalam radar ke Sukan SEA Kemboja 2023

Rouxin menerima Anugerah Olahragawati Sukma MSN 2022 disampaikan
bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada Majlis Penutup Temasya Sukma MSN 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Sabtu. - Foto Bernama
Rouxin menerima Anugerah Olahragawati Sukma MSN 2022 disampaikan bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada Majlis Penutup Temasya Sukma MSN 2022 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PERENANG dari Johor, Tan Rouxin, yang mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, baru-baru ini diintai Persatuan Renang Malaysia (MS) untuk disenaraikan dalam skuad Sukan SEA 2023 di Kemboja, Mei tahun depan.

Setiausaha Agungnya, Mae Chen berkata, pihaknya sedang menimbangkan untuk membawa masuk atlet berusia 16 tahun itu ke kem latihan kebangsaan, selepas pencapaian hebatnya membawa pulang enam emas, satu perak dan satu gangsa pada acara renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

“Ya, tentunya kami mahu (memasukkan Rouxin dalam skuad Sukan SEA),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mae berkata, Rouxin adalah seorang perenang berpotensi yang mahir dalam pelbagai teknik renang dan boleh bertanding dalam kesemua empat acara (gaya bebas, kuak lentang, kuak dada, kuak kupu-kupu) serta mempunyai masa depan cerah.

Ditanya jika Rouxin mampu menggantikan perenang kebangsaan, Phee Jinq En sekiranya Jinq En bersara kelak, Mae berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian, namun beliau percaya Rouxin berada pada landasan yang tepat untuk bersinar.

Mengenai penilaian keseluruhannya terhadap persembahan atlet renang pada temasya itu, beliau berkata, selain Rouxin, perenang muda lain termasuk remaja berusia 15 tahun Loo Yie Bing dari Sabah dan atlet Wilayah Persekutuan Muhammad Dhuha Zulfikry, 13, turut mempamerkan aksi membanggakan.

“Ia adalah pertandingan yang sangat kompetitif, mencabar dan persaingan yang sihat antara semua negeri. Saya gembira melihat ramai yang pulang dengan senang hati,” katanya.

Selain itu, Mae memaklumkan MS berhasrat untuk menawarkan kesemua pemenang emas Sukma yang belum tersenarai di bawah program latihan kebangsaan di Bukit Jalil, untuk menyertai kem latihan itu tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat cabaran untuk menarik mereka menyertai kem latihan kebangsaan memandangkan para atlet itu terikat dengan program akademik di negeri masing-masing malah ada yang sedang menuntut di luar negeri.

“Walaupun mereka tidak boleh datang untuk latihan, masih terdapat ruang untuk kami merancang dan berbincang dengan mereka. Mereka boleh terus berlatih di negeri (masing-masing) dan selepas itu memberi laporan latihan kepada kami.

“Bezanya cuma tiada elaun diberikan serta beberapa faedah lain, seperti sokongan daripada Institut Sukan Negara, tetapi, akhirnya, kami masih boleh menimbangkan mereka untuk mewakili negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!