Mangsa banjir kilat di Johor meningkat 222 orang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir kilat di dua daerah di Johor meningkat kepada 222 orang setakat 4 petang ini, berbanding 194 orang pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataannya memaklumkan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Batu Pahat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh yang menempatkan 97 mangsa daripada 21 keluarga.

JPBD bagaimanapun memaklumkan sebuah PPS di Pontian telah ditutup, berikutan kesemua mangsa yang ditempatkan di Sekolah Agama Kayu Ara Pasong telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, berikutan banjir mulai surut.

"Jumlah itu menjadikan keseluruhan sebanyak empat PPS masih beroperasi setakat ini.

"Dua PPS di Batu Pahat adalah Sekolah Agama Seri Bengkal dan SK Peserai, manakala di daerah Pontian iaitu Pusat Kokurikulum Johor, Sungai Tempayan, masih dibuka sejak semalam,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.

Menurut JPBD, sebanyak tujuh kawasan di Johor dilaporkan masih terjejas akibat banjir kilat berikutan hujan lebat bermula pada 6.30 pagi, semalam.

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Seri Bengkal; Kampung Bintang Peserai; Kampung Dalam; Kampung Sungai Suloh; Kampung Sungai Suloh Besar dan Kampung Patah Pedang di Batu Pahat serta Kampung Sungai Mulih, Pekan Nenas di Pontian. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!