Lelaki ditemui maut dalam longkang
PONTIAN - Seorang pemuda ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah longkang oleh orang awam di Jalan Sanglang Laut, Ayer Baloi, dekat sini malam Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan II Julia Sani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 11.35 malam.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Fire Rescue Vehicle (FRV)dikejarkan ke tempat kejadian.
"Terdapat seorang lelaki dewasa berusia 21 tahun berada dalam longkang yang berkedalaman kira-kira 2.1 meter. Mangsa telah dijumpai oleh awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum bomba tiba di lokasi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir dan seterusnya diserahkan kepada pihak poils untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat jam 12.35 tengah malam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!