Korea Selatan jadi destinasi latihan peluncur ais muda negara

Sree (tengah) bersama Chendren (kanan) menerima replika cek penajaan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk berjumlah RM30,000 daripada Norita pada majlis penyampaian replika cek tajaan atlet luncur ais itu pada Isnin. Foto: Bernama
Sree (tengah) bersama Chendren (kanan) menerima replika cek penajaan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk berjumlah RM30,000 daripada Norita pada majlis penyampaian replika cek tajaan atlet luncur ais itu pada Isnin. Foto: Bernama
A
A
A

PELUNCUR ais muda sensasi negara, C Sree Abiraame, kini mengorak langkah lebih jauh dalam sukan itu apabila bakal menjalani latihan selama tiga tahun bersama kelab luncur ais terkemuka Korea Selatan, The Skating Club Jewels.

Atlet berusia 10 tahun itu, akan berkelana ke negara tersebut dalam persediaan awalnya bagi melayakkan diri dalam Sukan Olimpik Remaja Musim Sejuk 2028 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2030.

Kedua-dua temasya itu, bagaimanapun hanya boleh disertai atlet cilik tersebut selepas umurnya 14 tahun.

"Saya bersedia untuk berlatih dengan gigih, biarpun di sana nanti latihannya memakan masa enam jam. Saya sudah biasa dengan tempoh latihan tersebut di sini," katanya di Sunway Resort pada Isnin.

Sementara itu ayah kepada atlet terbabit, B Chendren berkata, Sree akan berlepas pada 1 Oktober ini untuk memulakan latihan intensif di sana.

"Ini merupakan fasa ke empat persiapan Sree di pentas dunia, yang memerlukan latihan intensif tinggi selama enam jam sehari, enam hari seminggu dan wajibnya 36 hari, untuk kelayakan Kesatuan Luncur Ais Antarabangsa (ISU).

"Latihan di Malaysia maksimum selama dua jam dan kita tidak ada fasiliti lengkap seperti di sana. Latihan itu juga mempunyai jurulatih teknikal yang akan menganalisis prestasi Sree, dari masa ke masa," katanya.

Sebelum itu, Sree mendapat tajaan berjumlah RM30,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan juga sumbangan daripada Yayasan Sime Darby berjumlah RM60,000, bagi membiayai kos latihan di sana. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!