'Main macam biasa'

The Speedy Tigers menyingkap Siri Jelajah Belgium yang bermula pada Selasa. Foto: FB Malaysian Hockey Confederation
The Speedy Tigers menyingkap Siri Jelajah Belgium yang bermula pada Selasa. Foto: FB Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

TIGA cabaran utama menjadi ujian tahap kesiapsiagaan The Speedy Tigers apabila skuad hoki senior lelaki negara itu menyingkap Siri Jelajah Belgium yang bermula pada Selasa selepas menjalani latihan kesesuaian fizikal sebelum ini.

Legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini berkata, cabaran pertama skuad kendalian Arul Selvaraj pastinya terarah pendekatan digunakan dalam menyaingi corak permainan yang bakal ditampilkan pasukan gergasi Eropah tersebut.

Jelasnya, keberhasilan dari perlawanan di Belgium itu juga akan menjadi penilaian terhadap penambahbaikan menjelang Pusingan Akhir Piala Dunia 2023 di India tahun depan.

“Harus diingat corak permainan pasukan negara amat berbeza dengan pasukan dari Eropah baik semasa menyerang dan bertahan.



"Paling penting sudah pastinya pasukan lawan akan mempraktikkan corak permainan pantas.

“Jadi para pemain perlu memanfaatkan peluang belajar daripada pasukan Eropah bagaimana lawan menyerang dan bertahan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Speedy Tigers kini dalam Siri Jelajah Belgium yang menyaksikan skuad negara bakal mengharungi empat perlawanan persahabatan berdepan tuan rumah dan Perancis.

Malah, pengendali negara, Arul Selvaraj menyifatkan selain persediaan Piala Dunia, aksi ujian itu juga penting menjelang Piala Sultan Azlan Shah dari 1 hingga 10 November ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Nor Saiful berharap para pemain dapat beraksi seperti biasa selain mengambil pengajaran dalam setiap perlawanan tersebut.

“Apabila berdepan pasukan ini janganlah pula menampilkan satu corak permainan selamat. Maksud corak permainan selamat seperti kurang mengambil peluang melakukan serangan sebaliknya berkampung bertahan dalam kawasan D.

“Sebenarnya para pemain tidak akan dapat mengetahui sejauh mana kekuatan setiap bahagian sekiranya kita mengamalkan corak permainan selamat seperti ini,” jelasnya.

Nor Saiful juga menegaskan siri jelajah itu juga merupakan masa terbaik menguji keupayaan fizikal dan mental para pemain negara untuk perlawanan berintensiti tinggi.

“Speedy Tigers juga akan menentang pasukan Eropah yang memiliki keupayaan fizikal yang sememangnya amat berlainan. Jadi aspek mental dan fizikal para pemain sekali lagi akan diuji biarpun ia sekadar perlawanan ujian,” ujarnya.

SIRI JELAJAH BELGIUM

SELASA (27 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Belgium A

(Std Sportcentrum Wilrijkse Plein, 6 petang)

RABU (28 SEPTEMBER)

Malaysia lwn Belgium,

(Std Sportcentrum Wilrijkse Plein, 6 petang)

SELASA (4 OKTOBER)

Malaysia lwn Perancis

(Std Warrior Field Sports, Waterloo, 6 petang)

RABU (5 OKTOBER)

Malaysia lwn Perancis

(Std Warrior Field Sports, Waterloo, 5 petang)

*Waktu Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!