Dakwaan kes culik tidak berasas: Polis
KOTA BHARU - Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat di negeri khususnya netizen supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak di pekarangan sekolah di laman media sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.
“Beberapa hantaran yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan mendorong PDRM khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.
“Dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat-tempat tertentu disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar pada lewat malam Isnin.
Beliau berkata, tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat adalah satu kesalahan.
“Mereka terlibat boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali
“Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM 50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sementara itu, polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik murid sekolah rendah masing-masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.
“Hasil siasatan pihak Polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain,” katanya.
Menurut Muhamad Zaki, dakwaan sama turut berlaku di daerah Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah tersebut.
”Apabila kami jalankan siasatan, rupa- rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu adalah kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusan untuk membuat kutipan bulanan daripada pelanggan di situ,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut didakwa berlaku di kawasan Masjid Muhammadi di sini pada awal September lalu sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak kanak.
Dalam pada itu, tular sepucuk surat dari sebuah sekolah di Kelantan yang mengingatkan ibu bapa menjaga dan mengawasi anak-anak mereka sewaktu menghantar serta mengambil dari sekolah, berikutan risiko menjadi mangsa culik.
“Pihak Polis menjalankan siasatan selepas tular dakwaan seumpama itu, namun mendapati tidak benar dan tidak berasas apatah lagi yang mengaitkan dengan sindiket mengambil organ kanak-kanak serta sebagainya,” tambahnya.
Muhamad Zaki meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah dari pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan.
Tular sejak beberapa hari ini hantaran dan muat naik di media sosial mengaitkan dakwaan menculik kanak sehingga timbul keresahan dalam kalangan ibu bapa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!