Usah takut dengan perubahan MassComm

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) atau lebih dikenali sebagai MassComm.
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) atau lebih dikenali sebagai MassComm.
A
A
A

FAKULTI Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) atau lebih dikenali sebagai MassComm sering disebut-sebut sebagai fakulti paling havoc dan popular dalam kalangan pelajar universiti.

Masscomm yang dahulunya dikenali sebagai Kajian Sebaran Am telah menjadi perintis kepada pendidikan komunikasi dan media sejak tahun 1972 dengan menawarkan lima program peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu Kewartawanan, Penyiaran, Penerbitan, Pengiklanan dan Perhubungan Awam.

Dengan peredaran zaman yang semakin canggih, fakulti itu menambah empat program baharu iaitu Komunikasi Instruksional dan Latihan, Komunikasi Interpersonal, Pengurusan Komunikasi dan Polisi serta Komunikasi Media Baharu yang lebih relevan pada masa kini.

FKPM turut menawarkan program peringkat Doktor Falsafah iaitu Ijazah Doktor Falsafah Komunikasi Massa serta Media dan Perang Saraf.

Biarpun segelintir masyarakat mendakwa MassComm sebagai fakulti bagi mereka yang ingin menjadi ‘artis’ dan mudah untuk dimasuki, ia sebenarnya sebuah program yang menekankan semua perkara yang berkait rapat dengan media termasuk undang-undang serta keusahawanan.

Pendek kata, MassComm merangkumi semua perkara secara menyeluruh iaitu menulis berita, menyunting video, pengurusan acara, pengacaraan, fotografi, terjemahan, grafik dan multimedia.

Namun semalam, seorang bekas pensyarah memaklumkan bahawa fakulti MassComm, Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan digabungkan di bawah Fakulti Komputer Sains yang diketuai oleh Dekan Komputer Sains serta dikenali dengan nama baharu iaitu Kolej Pengajian Pengkomputeran dan Komunikasi mulai Oktober ini.

Berita ini mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak yang mana rata-ratanya tidak bersetuju sehingga wujudnya petisyen ‘Bantah Gabung Fakulti MassComm Dengan Sains Komputer dan Hilangnya Legasi Masscomm', yang kini sudah meraih sebanyak 758 sokongan pada jam 10 malam lepas.

Artikel Berkaitan:

Ramai juga yang tertanya-tanya, apakah relevan di sebalik penstrukturan semula atau penggabungan antara fakulti ini? Bukankah setiap fakulti mempunyai pelajaran yang berbeza serta identiti tersendiri?

Seiring dengan kepesatan teknologi dan kehendak pasaran industri, transformasi yang dilakukan ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang lebih versatil yang akan menghasilkan skil mengikut keperluan pasaran.

Ini tidak bermaksud graduan yang dilepaskan selama ini tidak berkualiti namun ramai mendakwa kebanyakan mereka tidak mempunyai skil serba boleh yang dikehendaki oleh pasaran industri pekerjaan.

Contohnya, seorang wartawan hanya boleh menulis berita sedangkan teknologi sudah berkembang dan memerlukan mereka untuk mempunyai skil dalam menyunting video, menganalisis data dan mengendali media sosial.

Perubahan yang dilakukan ini juga mengambil kira perubahan di dalam National Education Code 2020 yang telah menggabungkan komponen informatik di dalam bidang-bidang dalam komunikasi.

Menurut penjelasan dari pihak UiTM MassComm di media sosialnya, antara nilai tambah yang perlu ada pada graduan Masscomm di masa hadapan adalah aplikasi dan teknologi digital, data analitik, penghasilan kandungan digital, pengurusan data, maklumat dan komunikasi.

Kesemua dapatan utama ini boleh direalisasikan dengan inisiatif penggabungan antara fakulti.

Rentetan perubahan landskap teknologi dunia serta pandemik yang melanda, perubahan yang seiring dengan zaman perlu dilakukan demi memastikan bidang komunikasi dan media kekal relevan.

Penulis faham akan kegelisahan sesetengah pihak yang takut akan hilangnya legasi MassComm dan bidang sedia ada di universiti akan terganggu dengan nilai tambah penstrukturan ini.

Namun, sudah sampai masanya perubahan perlu dilakukan untuk menuntut semua bidang keluar dari zon selesa dan bekerjasama secara sihat agar legasi MassComm ini kelihatan relevan selamanya.

Bak kata ahli teori terkenal dunia, Stephen Hawking, kebijaksanaan adalah keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Oleh itu, usahlah kita takut akan perubahan yang mana ia mungkin boleh membawa kepada kebaikan.

Penulis juga yakin identiti unik MassComm itu tidak akan lenyap begitu sahaja dan akan tetap teguh biarpun berlaku agenda penstrukturan semula universiti.

* Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah wartawan Sinar Premium

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!