Aniq kecewa angkat berat masih 'dihantui' isu doping
BADANG negara kecewa apabila masih ada isu penggunaan bahan terlarang dalam arena angkat berat pada ketika Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mempertimbangkan untuk kembali menyenaraikannya sebagai antara sukan teras.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022, Aniq Kasdan berkata, barisan atlet elit kebangsaan sudah berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan imej sukan itu, tetapi ia juga memerlukan peranan daripada setiap pihak.
"Rasa kecewa kerana penat kami berusaha menaikkan semula imej sukan ini dan tiba-tiba masih ada yang 'sangkut'," katanya kepada Nadi Arena.
Temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 dikejutkan dengan tiga kes positif ujian doping dalam sukan angkat berat yang melibatkan atlet muda.
Menurut Aniq, insiden doping itu memberi impak yang besar kerana peluang untuk disenaraikan semula dalam sukan teras menjadi sukar.
"Sebelum ini, MSN sudah bersetuju untuk memasukkan kami semula ke dalam sukan teras tetapi selepas isu ini, saya tidak tahu apa yang akan terjadi.
"Jika bukan dalam sukan teras, agak sukar untuk kami memiliki program pelapis, jadi buat adik-adik yang ada bakat dan mahu pergi jauh, agak sukar untuk mereka berkembang," katanya.
Aniq memberitahu, atlet angkat berat berdepan pelbagai cabaran untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sesuatu kejohanan termasuk kemudahan latihan dan makanan.
"Kami pergi ke kejohanan tanpa dana mencukupi, berlatih tanpa fasiliti dan makanan tambahan yang sewajarnya," katanya.
Mengulas kemungkinan bentuk tindakan MSN terhadap isu doping tersebut, Aniq berharap apa pun keputusan ia mampu memberi kebaikan buat semua pihak.
"Saya tidak tahu apa tindakan MSN selepas ini, apa yang boleh saya buat setakat ini adalah berlatih dan belajar.
"Andai masih ada jalan, saya akan meneruskannya, tetapi jika ia gelap sedikit, saya hanya fokus sahaja," katanya. - Stadium Astro
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!