Kadar tarif khidmat pembetungan diselaras mulai Sabtu ini

Infografik kos dan peningkatan yang ditanggung oleh IWK sejak 28 tahun yang lalu.
Infografik kos dan peningkatan yang ditanggung oleh IWK sejak 28 tahun yang lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tarif perkhidmatan pembetungan bersambung dan mengosongkan tangki septik bagi kategori domestik diselaraskan mulai Sabtu ini.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi kenyataannya pada Selasa memaklumkan, penyelarasan itu melibatkan peningkatan antara RM5 hingga RM8 sebulan bagi perkhidmatan mengosongkan untuk premis yang memiliki tangki septik di Semenanjung Malaysia dan Labuan.

"Bagi perkhidmatan bersambung pula akan mengalami peningkatan kecil sebanyak RM2 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan," kata KASA.

Kenyataan itu memaklumkan, bantuan bersasar akan disediakan melalui pemberian rebat kepada golongan yang berdaftar dengan program e-Kasih.

KASA menegaskan pelarasan kadar tarif perkhidmatan pembetungan penting bagi memastikan industri perkhidmatan pembetungan yang mapan.

"Langkah ini akan membolehkan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dapat memberikan tahap perkhidmatan yang efektif dan efisien," katanya.

Kementerian itu berkata, semenjak perkhidmatan pembetungan diambil alih oleh IWK 28 tahun lepas iaitu pada tahun 1994, tarif pembetungan tidak pernah disemak.

"Keadaan ini telah menjejaskan aliran tunai IWK di mana pendapatan tidak dapat menanggung kos operasinya yang semakin meningkat pada setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini telah menjejaskan kemampanan sektor pembetungan negara secara keseluruhannya," kata kementerian itu.

Menurut KASA, purata kos sebulan bagi menyediakan perkhidmatan pembetungan bersambung adalah RM17 berbanding dengan kadar tarif semasa iaitu antara RM2 hingga RM8.

"Kos sebenar perkhidmatan mengosongkan tangki septik adalah RM22 sebulan berbanding dengan kadar tarif semasa iaitu antara RM2 hingga RM6 setiap bulan," katanya.

Ujar KASA, kadar tarif itu juga adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan tarif perkhidmatan utiliti yang lain seperti bekalan elektrik, telekomunikasi dan internet jalur lebar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!