LZS hantar 12 pelajar Dermasiswa Zakat ke Mesir, Jordan
SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghantar 12 pelajar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara menerusi program Dermasiswa Zakat pada Ahad.
LZS dalam satu kemas kini di Facebook memaklumkan seramai sembilan pelajar akan dihantar ke sebuah universiti di Jordan, manakala selebihnya di Mesir.
Dalam hantaran berkenaan, LZS turut mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar zakat di Selangor yang membantu realisasikan usaha pihak berkenaan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran bagi keluarga asnaf.
"Asbab dari pengeluaran zakat 2.5 peratus, kita bukan sahaja dapat membantu keperluan asas makan minum, malah dapat menawarkan dermasiswa zakat buat pelajar dari kalangan keluarga asnaf.
"Alhamdulillah terima kasih juga buat pengeluar zakat di LZS. Kami mendoakan agar pelajar yang pergi menuntut ilmu ini berjaya dengan cemerlang suatu hari nanti," katanya pada Selasa.
Turut hadir menghantar pelajar di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ahad ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Bin Mohd Sarbini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan LZS, Norhirman Muhamat, pegawai pengiring LZS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!