England sudah bersedia ke Qatar 2022

Harry Kane
Harry Kane
A
A
A

HARRY Kane mengakui England berada dalam tekanan berikutan prestasi buruk baru-baru ini, namun menyifatkan The Three Lions bertambah baik setelah melakar keputusan seri 3-3 berdepan Jerman dalam aksi kumpulan Liga Negara-Negara UEFA di Stadium Wembley.

“Sejujurnya, kami semua berada di bawah tekanan selepas tewas kepada Itali dalam perlawanan sebelum ini.

"Kami berjaya menjaringkan tiga gol dan ia meletakkan semula pasukan ini dalam pemikiran yang positif. Ia bagus apabila dapat menjaringkan gol," katanya.

The Three Lions sebelum itu ketinggalan 0-2 selepas Harry Maguire menghadiahkan penalti yang disempurnakan Ilkay Gundogan (52'), diikuti satu lagi kesilapan tonggak Manchester United tersebut yang dimanfaatkan Kai Havertz (67').

Namun gol Luke Shaw (71'), Mason Mount (75') dan penalti Kane (83') meletakkan tuan rumah 3-2 di hadapan sebelum kesilapan penjaga gol Nick Pope menghadiahkan Havertz gol minit ke-87', untuk menafikan kemenangan England dalam perlawanan terakhir sebelum menyingkap saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Keputusan yang jauh lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini tambahan pula berdepan Jerman.

“Saya fikir kami bermain dengan sangat baik, namun sedikit malang ketinggalan 0-2 pada permulaan perlawanan yang merupakan satu kesilapan.

“Kemudian kami bangkit dengan sangat baik untuk kembali semula dalam permainan, mendahului dan malangnya diikuti satu lagi kesilapan," kata Kane.

Artikel Berkaitan:

Tambah peledak sensasi Tottenham Hotspur itu lagi, mentaliti perjuangan dipamerkan The Three Lions dalam perlawanan itu juga cukup luar biasa.

“Ya, karakter dan mentaliti ditunjukkan para pemain hari ini merupakan satu kelaziman luar biasa dalam pasukan England.

"Biarpun kami tidak mendapat kemenangan, namun pasukan ini boleh berbangga dengan keputusan dilakar di bumi Wembley yang meletakkan England di tempat yang terbaik menjelang Piala Dunia 2022,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!