[VIDEO] Pas muktamadkan hala tuju dalam masa terdekat

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pas dijangka memuktamadkan hala tuju kerjasama sama ada dengan UMNO atau Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan Isnin malam.

"Saya diberi bayangan Pas akan buat keputusan yang 'firm'," katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) di sini pada Selasa.

Menurutnya, Abdul Hadi turut menjelaskan pertemuan Pas dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mencapai sebarang keputusan.

"Beliau jumpa dan bincang setengah jam lepas itu tidak jadi apa-apa.

"Itu baiknya dia lapor pada saya... Saya pun kalau jumpa sesiapa, kita lapor balik. Tidak ada benda yang kita sorok," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai hantaran mengenai pertemuan itu yang turut disertai oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Pas diwakili Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di laman Facebook rasminya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menolak pendirian PN melabelkan UMNO sebagai musuh politik perikatan itu, Muhyiddin menjawab dengan soalan:

Artikel Berkaitan:

“Saya tanya balik adakah mereka mahukan UMNO bersama dengan mereka (Pas)?

"Itu sebab dalam perbincangan malam tadi menunjukkan bahawa hubungan kita mantap dan kukuh," katanya.

Tambah beliau, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu adalah hak individu tersebut.

“Kadang-kadang mungkin beliau rujuk atau tidak kepada sesiapa, saya tak tahu.

"Tapi pertemuan semalam menggambarkan bahawa yang lebih penting adalah pertemuan terkini kita menjelaskan bagaimana hubungan kita dan kenyataan yang saya telah buat jangan disalah tafsirkan," katanya.

Mengulas mengenai kerusi pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, perikatan itu akan menentang mana-mana parti yang tidak sehaluan.

"Dalam PRU15, kita akan tentang dan apa sahaja yang menentang kita bukan kawan kita, mudah sahaja.

"Jadi kita lawan dan biar rakyat yang putuskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!