Aktiviti khurafat di Telaga Tok Sheikh

Air dari Telaga Tok Sheikh yang tidak pernah berhenti mengalir. (Gambar kecil: Dr Ismail Salleh)
Air dari Telaga Tok Sheikh yang tidak pernah berhenti mengalir. (Gambar kecil: Dr Ismail Salleh)
A
A
A

YAN - Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai sering menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung ke pusat pelancongan itu.

Namun tindakan golongan tertentu yang sering bertapa di kawasan berkenaan sedikit sebanyak menjejaskan pemandangan di situ.

Ramai yang datang bertapa menganggap tempat itu suci kerana kawasan itu ada kaitan dengan pendeta dari Arab, Sheikh Abdullah Al Qumairi yang mengislamkan Sultan Kedah ke-9, Sultan Muzaffar Shah pada 1136 Masihi.

Malah ramai yang datang mengambil air dari Telaga Tok Sheikh kerana percaya ia mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.

Pengurus Jerai Hill, Anuar Omar berkata, terdapat segelintir pengunjung datang melakukan amalan atau ritual yang memesongkan akidah.

Pengurus Jerai Hill, Anuar Omar
Pengurus Jerai Hill, Anuar Omar

"Ada pengunjung yang bertapa sehingga pasang khemah dan mencacatkan kawasan apabila dikunjungi pelancong.

"Dipercayai ada juga aktiviti memuja nombor ekor, sesi pemujaan tarik wang dan mandi bunga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat juga golongan wanita yang datang bermalam di sana bagi tujuan tertentu.

"Ada yang mendakwa mereka geng mencari harta karun dan mereka akan menjual keris dan sebagainya.

"Kami nasihatkan pengunjung agar tidak mudah tertipu dengan helah mereka dan sentiasa berhati-hati apabila ke lokasi berkenaan," katanya.

Jalan menuju ke Telaga Tok Sheikh.
Jalan menuju ke Telaga Tok Sheikh.

Anuar berkata, dia pernah terserempak dengan rombongan dari Indonesia yang datang bertapa di Telaga Tok Sheikh.

"Apabila ditanya tujuan kedatangan, mereka cuma jawab ada sesi tamat belajar. Ramai juga orang luar percaya Gunung Jerai ini ada sesuatu yang istimewa, jadi mereka akan adakan sesi tamat menimba ilmu di sini.

"Tak kisahlah ilmu persilatan atau perubatan, ramai juga yang memilih Gunung Jerai sebagai lokasi tamat belajar," katanya.

Menurutnya, air dari telaga berkenaan juga telah disahkan selamat untuk diminum menyebabkan ramai pengunjung yang datang untuk mengambil air berkenaan.

Dalam pada itu, pihaknya berharap mereka yang datang ke kawasan berkenaan dapat menjaga kebersihan.

"Kami bagi pihak pengurusan Gunung Jerai dan hotel sedikit kecewa apabila sesi gotong-royong pelbagai jenis sampah kita jumpa seperti baju, bekas makanan dan banyak lagi.

"Kita nak larang pun tak boleh sebab itu adalah kawasan awam. Cuma, suka untuk saya ingat kan telaga itu merupakan tempat orang alim, tempat yang pernah dipijak oleh orang yang baik. Jadi jangan dicemari dengan sampah dan aktiviti syirik yang bertentangan dengan agama Islam," katanya.

Dia berkata, pihak majlis agama juga pernah beberapa kali datang membuat serbuan ke kawasan Telaga Tok Sheikh.

"Bila pihak berkuasa datang, hilanglah sekejap orang yang bertapa ini tapi selepas sehari dua mereka akan muncul semula," jelasnya.

Bertapa sejak 2003

Seorang pengunjung dari Baling, Shahrul Izlan Mohd Khir, 31, mengakui dia akan meluangkan masa selama tiga hari seminggu untuk bermalam di Telaga Tok Sheikh. Menurutnya, dia tidak pernah gagal melakukan rutin itu sejak 2003 sehingga kini.

"Setiap hari Jumaat, saya akan naik ke Gunung Jerai dan turun untuk pulang ke rumah pada hari Ahad.

"Saya bermalam di kawasan Telaga Tok Sheikh kerana saya berasa tenang apabila berada di sini.

"Dekat sini kita boleh nampak suasana alam sekitar yang menghijau, sambil berzikir kita akan merasa tenang," katanya.

Pengunjung mengambil air dari Telaga Tok Sheikh.
Pengunjung mengambil air dari Telaga Tok Sheikh.

Dalam pada itu katanya, ramai pengunjung sering datang ke sini untuk mengambil air dari Telaga Tok Sheikh.

"Ada yang datang untuk minum, mandi dan ada yang tadah air untuk dibawa balik.

"Menariknya, orang Cina pun ada datang ambil air ini kerana mereka percaya air ini baik untuk kesihatan dan dapat menyihatkan tubuh badan," katanya. Bagi Hasnah Mat Zain, 41, pula, dia kali pertama datang ke Telaga Tok Sheikh untuk merasai air itu sendiri.

"Air dari telaga sejuk dan rasa segar bila minum. Saya ada ambil untuk minum dan basuh muka, alhamdulillah terasa segar," katanya.

Jabatan Agama Islam pantau kawasan

Exco Agama Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, pihak Jabatan Agama Islam Kedah telah beberapa kali memantau aktiviti di kawasan telaga dan padang Tok Sheikh.

"Kita lakukan pemantauan pada waktu siang dan juga malam sehingga pernah bermalam di Padang Tok Sheikh untuk melihat aktiviti yang dilakukan pihak berkaitan.

"Sehingga kini tiada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan kecuali tindakan berbentuk nasihat dan pemantauan sahaja," katanya.


Ramai yang mempercayai air Telaga Tok Sheikh mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.
Ramai yang mempercayai air Telaga Tok Sheikh mampu menjadi penawar kepada pelbagai penyakit.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius amalan khurafat dan syirik kerana ia sangat bertentangan dengan agama Islam.

"Insya-ALLAH kita akan pastikan amalan ini dihentikan serta-merta dan kawasan berkenaan bersih daripada perkara khurafat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sejarah Telaga Tok Sheikh

Sheikh Abdullah Al Qumairi merupakan seorang ulama yang berasal dari Yemen berjaya mengislamkan Raja Kedah ke-9 iaitu Maharaja Derbar Raja. Baginda kemudian menukar nama kepada Sultan Muzaffar Shah dan menamakan negeri Kalaha kepada Kedah.

Kejayaan dakwah Sheikh Abdullah juga terbukti apabila pembesar istana juga turut menerima ajaran Islam. Sheikh Abdullah yang menjadi penasihat baginda kemudian mencadangkan kepada sultan agar membuat menara di puncak Gunung Jerai bagi melaksanakan azan dan juga satu tempat bagi memperingati pertukaran nama baginda serta nama negeri Kedah.

Cadangan itu diperkenankan baginda dan pekerja bersama berkumpul di puncak Gunung Jerai dan mula mendirikan menara tersebut di bawah penjagaan Sheikh Abdullah. Telaga Tok Sheikh itu wujud apabila beliau memerlukan air untuk kerja pembinaan menara dan juga keperluan pekerja.

Sejak itu, air dari dalam tanah tidak pernah kering sampai ke hari ini. Namun, apabila menara yang hendak dibina itu hampir siap, Sheikh Abdullah jatuh sakit dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ketika akhir nafasnya, Sheikh Abdullah mewasiatkan supaya beliau dikebumikan di tanah rata berhampiran menara tersebut. Wasiat itu telah dilaksanakan dengan baik oleh Sultan dan para menterinya.

Disebabkan itu, sehingga hari ini tanah rata di Puncak Gunung Jerai dipanggil dengan panggilan Padang Tok Sheikh sempena mengambil nama Sheikh Abdulah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!