Projek tebatan banjir: Seorang pegawai MBSA disambung reman
SHAH ALAM - Seorang pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disambung reman enam hari untuk siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.
Menurut sumber, tempoh lanjutan reman pegawai lelaki berusia 36 tahun itu direman bermula Selasa.
"Pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) itu disambung reman selama enam hari lagi untuk siasatan lanjut.
"Setakat ini tiada penahanan baharu dan siasatan masih dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan lanjutan reman itu.
Sabtu lalu, pegawai terbabit antara tiga pegawai MBSA yang ditahan SPRM bersama seorang kontraktor susulan serbuan suruhanjaya itu di MBSA, Shah Alam pada 19 September.
Pegawai itu kemudian direman tujuh hari bermula Rabu (21 September) untuk siasatan di Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala tiga lagi individu juga direman tujuh hari bermula Selasa (20 September).
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan SPRM menahan empat lagi pegawai MBSA berusia lingkungan 32 hingga 47 tahun itu pada Sabtu dan Ahad lalu selepas hadir untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Tiga individu kemudian direman selama lima hari manakala seorang lagi direman enam hari masing-masing bermula Ahad serta Isnin.
Media sebelum ini melaporkan salah seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang enggan dikenali mengatakan bahawa serbuan yang dibuat oleh SPRM dipercayai mempunyai kaitan dengan projek tebatan banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!