Pemenjaraan Najib tidak jejas aura ‘bossku’
SHAH ALAM - Pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan sesekali menamatkan aura ‘bossku’ beliau dan melemahkan kekuatan BN.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, musuh BN yang didakwa gembira atas pemenjaraan Ahli Parlimen Pekan itu tidak akan bertahan lama.
Ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, gabungan tersebut akan terus mara di samping jasa dan budi Najib tetap tersemat rapi dalam sanubari anggota masyarakat yang mula mengetahui kebenaran sebenar.
“Mereka berharap nama Najib berjaya 'dibunuh' selepas dipenjarakan, namun aura 'bossku' masih jadi sebutan rakyat hingga hari ini.
“Lawan BN jadi seriau dan meneruskan misi pembunuhan karakter 'bossku' walaupun Najib kini berada dalam tahanan,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahmad Zahid menambah tindakan tersebut menjadi senjata utama musuh BN bagi menghancurkan nama baik gabungan itu.
“Namun kita percaya dan yakin niat jahat lawan BN itu tidak akan berhasil kerana mereka terlepas pandang perkara pokok tentang 'bossku’,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata adalah mustahil untuk lawan BN melenyapkan aura ‘bossku', itu memandangkan istilah sebenarnya membawa maksud rakyat.
“Bila kata 'bossku' pada saya, saya ingatkan diri saya bos adalah rakyat. Bila kata ‘bossku’ bukan bererti bos sebenar. Rakyat jadi bos kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!