Persiapan bencana, Mindef tambah dua lagi hospital medan

Hishammuddin (dua dari kiri) bersama Khairy Jamaluddin (tiga dari kiri) menyantuni pesakit-pesakit ketika membuat lawatan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan pada Selasa. - Foto Bernama
Hishammuddin (dua dari kiri) bersama Khairy Jamaluddin (tiga dari kiri) menyantuni pesakit-pesakit ketika membuat lawatan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan akan melaksanakan perolehan dua unit hospital medan tambahan melibatkan kos keseluruhan RM47 juta bagi menghadapi sebarang bencana dan kecemasan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu penting sebagai persediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak lebih banyak hospital medan sekiranya diperlukan termasuk ketika musim tengkujuh ini.

"Kementerian Pertahanan kini dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi untuk membantu agensi-agensi berkaitan dan menunggu arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini pada Selasa.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Semasa negara berdepan pandemik Covid-19, ATM mengoperasikan 10 hospital medan di seluruh negara bagi membantu merawat pesakit.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementerian akan menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan kesihatan miliknya dengan kesemua lima HAT bakal melalui proses selenggaraan dan penambahbaikan.

Beliau berkata, ia melibatkan perbelanjaan RM30.66 juta untuk bekalan ubatan, RM4.67 juta bagi menambahbaik peralatan perubatan dan RM2.6 juta bagi selenggaraan bangunan.

Selain itu, Hishammuddin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai HAT Kem Terendak yang memerlukan perhatian lebih daripada selenggaraan biasa serta telah mengarahkan supaya proses tender pembinaan HAT Kem Terendak baharu dengan kos RM325 juta disegerakan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya 19 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), 48 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) dan 40 Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PGAT) juga akan melalui proses selenggaraan dan penambahbaikan melibatkan kos RM61 juta untuk ubatan serta peralatan perubatan dan RM13.3 juta untuk penyelenggaraan.

Katanya 50 unit ambulans medan turut dibeli pada kos RM27 juta yang dijangka diterima pada Disember ini.

Ujar beliau secara keseluruhan, pihaknya amat menghargai kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan dalam memperkasa inisiatif kesihatan ATM.

"Saya sendiri akan melakukan tinjauan ke HAT dan fasiliti kesihatan ATM di seluruh negara secara berkala demi memastikan semua kerja penambahbaikan ini berjalan lancar demi kepentingan warga pertahanan termasuk veteran ATM serta ahli keluarga mereka,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!