Amah curi barang kemas majikan diberkas
AMPANG - Polis menahan seorang pembantu rumah warga asing kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian barang kemas di sebuah rumah di Ampang Jaya di sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang wanita berusia 63 tahun menyedari barang kemas yang diletakkan di dalam almari pakaian telah tiada pada jam 5 petang.
"Wanita berkenaan telah bertanyakan kepada pembantu rumahnya dan dia mengaku telah mengambil dan memajakkan barang kemas tersebut di sekitar Ampang.
"Pembantu rumahnya kemudian menyerahkan tiga resit pajakkan barang kemas disyaki milik majikannya dan berjanji akan membayar semula," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad Farouk berkata, wanita tersebut telah melepaskan pembantu rumahnya dan berbincang semula pada jam 9 pagi, Ahad.
"Pada keesokan harinya, wanita tersebut telah pergi ke rumah pembantu rumah itu dan mendapati dia telah tiada serta gagal dihubungi. Kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000," katanya.
Mohamad Farouk berkata, pihaknya telah menahan secara berasingan dua lelaki warga tempatan berusia 32 dan 33 tahun di dua premis pajak gadai pada jam 10.30 pagi, Ahad.
"Dua lelaki yang ditahan itu merupakan pengurus premis pajak gadai, kita turut merampas sepasang subang dan dua utas rantai dipercayai milik mangsa.
"Kita kemudian berjaya memberkas pembantu rumah berusia 41 tahun itu di sebuah hotel di Jalan Dagang di sini pada jam 3.45 petang," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap dua lelaki itu telah ditolak oleh mahkamah, namun suspek wanita telah direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!