Cubaan culik palsu, mangsa reka cerita terpengaruh video tular

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Gambar kecil: Mohd Yusri)
A
A
A

IPOH - Kes cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, Taman Pinji Mewah di sini Jumaat lepas yang tular menerusi media sosial adalah palsu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil siasatan mendapati, murid perempuan berusia 9 tahun terbabit telah mereka cerita kepada ibunya berhubung kejadian culik itu kerana terpengaruh dengan kejadian sama yang tersebar di media sosial.

Menurutnya, kanak-kanak itu mereka cerita hanya untuk mengetahui bagaimana siasatan dan tindakan polis sekiranya berlaku kes sedemikian.

"Melalui media sosial, murid ini melihat ada video-video lama yang ditularkan kembali mengenai kejadian kanak-kanak ditangkap, diculik dan jual organ berlaku di luar negara.

"Terpengaruh dengan kejadian itu, dia mereka cerita kepada ibunya dan ibunya yang curiga akan keselamatan anaknya membuat laporan kepada polis.

"Apabila kita panggil (murid) untuk tahu apakah tujuannya dia membuat perkara itu, kanak-kanak ini kata, dia nak tengok cara bagaimana polis ambil tindakan dan buat siasatan terhadap kes sebegini," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, polis yang menerima laporan dibuat ibu murid berkenaan telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat perkara itu.

Katanya, polis juga memanggil lima saksi iaitu rakan sekelas, dua pengawal keselamatan sekolah dan pemandu van yang menghantar murid berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan mendapati, bahawa laporan mengatakan murid ini cuba diculik adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Beliau turut mengesahkan, video tular di media sosial mengenai van putih yang didakwa kenderaan culik sejak malam Isnin adalah tidak benar.

Katanya, van berkenaan merupakan van pekerja, bukan sepertimana kenderaan menculik mangsa sebagaimana disebarkan.

"Mungkin kerana isu ini sedang panas, asal van putih sahaja, diminta siasat, cerita van itu tidak benar," katanya.

Kes berkenaan tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak berkenaan memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan.

Berdasarkan laporan, kanak-kanak itu nyaris diculik bersama seorang lagi kanak-kanak oleh seorang lelaki yang menaiki van kira-kira jam 1.05 tengah hari pada 23 September lalu.

Cubaan menculik itu didakwa berjaya dipatahkan hasil tindakan pantas pengawal keselamatan sekolah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!