Ekonomi China akan tumbuh 2.8 peratus pada 2022 - Bank Dunia
EKONOMI China akan berkembang hanya 2.8 peratus tahun ini, berbanding 8.1 peratus pada 2021, kata Bank Dunia pada Selasa.
"China, yang sebelum ini menerajui pemulihan di rantau ini, diunjurkan berkembang sebanyak 2.8 peratus pada 2022, menunjukkan penurunan ketara daripada 8.1 peratus pada 2021," lapor Sputnik memetik Bank Dunia.
Bagi seluruh rantau Asia Timur dan Pasifik, pertumbuhan diunjurkan perlahan kepada 3.2 peratus tahun ini berbanding 7.2 peratus pada 2021, sebelum dijangka meningkat kepada 4.6 peratus tahun depan, tambah bank itu.
Naib Presiden Serantau Bank Dunia, Manuela Ferro mengakui bahawa kebanyakan ekonomi sedang menunjukkan pemulihan. Bagaimanapun, beliau memberi amaran, mereka harus bersedia untuk pertumbuhan global yang semakin perlahan dan harus menangani herotan dasar domestik yang menjadi penghalang kepada pembangunan jangka panjang.
Pemulihan dalam permintaan dalam negeri menjadi pemacu utama pertumbuhan di kebanyakan wilayah, kata bank itu.
"Kemelesetan ekonomi global mula melembapkan permintaan untuk eksport komoditi dan barangan perkilangan rantau ini. Inflasi yang meningkat di luar negara telah mencetuskan kenaikan kadar faedah, yang seterusnya menyebabkan aliran keluar modal dan susut nilai mata wang di beberapa negara Asia Timur dan Pasifik," menurut bank itu.
Perkembangan ini telah meningkatkan beban dalam membayar hutang dan mengecilkan ruang fiskal, menyukarkan negara yang memasuki era pandemik dengan beban hutang yang tinggi, tambah kenyataan itu.
Ketua Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Aaditya Mattoo memberi amaran bahawa penggubal dasar perlu membuat pilihan yang sukar antara mengekang inflasi dan menyokong ekonomi.
"Kawalan dan subsidi akan mengawal harga dan menjejaskan produktiviti. Dasar yang lebih baik untuk makanan, bahan api dan kewangan akan merangsang pertumbuhan dan mengurangkan inflasi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!