Tiada rasuah libatkan peruntukan KBS kepada persatuan sukan

Ahmad Faizal ketika pada sidang media selepas hadir pada majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Tahun 2021 di Majlis Sukan Negara, pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Faizal ketika pada sidang media selepas hadir pada majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan Tahun 2021 di Majlis Sukan Negara, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mendapati tidak berlaku kesalahan rasuah melibatkan peruntukan yang diberikan daripada kementerian berkenaan kepada persatuan sukan kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebelum diberikan peruntukan, persatuan sukan terbabit perlu menepati beberapa syarat ditetapkan seperti laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) dan aktif melakukan aktiviti melibatkan sukan yang diwakili.

Beliau berkata, sejak beliau menerajui kementerian itu, mana-mana persatuan sukan yang gagal memberi laporan berkenaan untuk tempoh tiga tahun berturut-turut, tidak ‘dilayan untuk menerima apa-apa bantuan.’

Saya terkejut juga apabila dikatakan persatuan sukan yang terima bantuan ‘hilang’, saya rasa istilah itu kurang tepat untuk digunakan. Pemeriksaan yang saya lakukan dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) mendapati perkara itu (rasuah) tidak berlaku dalam dana yang diberikan kepada persatuan sukan.

"Makluman saya dari pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) juga mengatakan mereka tidak menggunakan istilah tersebut, mungkin dilaporkan sedemikian. Mungkin pegawai itu cakap perkara pernah dilalui sebelum ini, bukan dilalui sekarang,” katanya selepas majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di sini, pada Selasa.

Ahad lepas, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dilaporkan berkata, suruhanjaya itu mendapati wujud aktiviti rasuah dalam industri sukan negara dari segi pengurusan dana dan sebagainya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, 99 badan sukan layak menerima penarafan bintang manakala 10,230 badan sukan masih tidak menepati syarat asas MYKB setakat 31 Dis 2020.

Daripada jumlah itu, hanya lima persatuan di peringkat kebangsaan - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) - layak menerima penarafan lima bintang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lima peratus adalah badan sukan kebangsaan, badan sukan peringkat negeri (10 peratus), badan sukan daerah (66 peratus) dan badan sukan peringkat kelab (19 peratus).

"Saya tetap optimis program penilaian sebegini boleh dijadikan sebagai penanda aras dalam memantau pengurusan badan-badan sukan di Malaysia. Secara tidak langsung, ia mampu memberi suntikan semangat terhadap badan sukan untuk meningkatkan kecemerlangan tadbir urus yang lebih efisien,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!