Tenis Malaysia cadang pinda perlembagaan
PERSATUAN Lawn Tenis Malaysia (Tenis Malaysia) bercadang meminda perlembagaannya bagi membolehkan sukan lain yang berkaitan tenis di bawah bidang kuasanya.
Setiausaha Tenis Malaysia, yang baru dilantik, Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahman berkata, ia termasuk tenis berkerusi roda, tenis pantai, 'pickleball' (pemegang raket bersaiz kecil dan bola plastik) dan 'paddle tennis' (raket plastik atau kayu bersaiz kecil dan bola getah).
Menurutnya, cadangan Persatuan Tenis Negeri Sembilan itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu tahun depan.
“Pindaan kepada perlembagaan Tenis Malaysia ini bagi memastikan pembangunan sukan berkaitan tenis tidak ketinggalan dan diberi perhatian sejajar dengan perubahan tenis di peringkat antarabangsa,” katanya pada Selasa.
Sementara itu, Mirzan Mahathir mempertahankan jawatan Presiden Tenis Malaysia selepas menang tanpa bertanding bagi penggal 2022-2025 pada pemilihan sempena mesyuarat AGM, Sabtu lalu.
Pertandingan tujuh penjuru untuk tiga naib presiden menyaksikan Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan, Datuk Patrick CJ Liew dan Zainudin Osman mengisi jawatan itu manakala 17 individu bertanding untuk tujuh jawatan ahli jawatankuasa eksekutif (exco).
Sementara itu, Hang Kok Long pula dipilih sebulat suara oleh perwakilan sebagai bendahari.
Persatuan itu turut mengorak langkah memperkasakan kesaksamaan gender dengan memilih Maria Fauzanna Ghazali dan Rozana Mohd Mahfudz sebagai dua anggota exco wanita pertama untuk membantu penyertaan yang lebih aktif oleh golongan wanita dalam sukan itu. - Bernama
Barisan Kepimpinan LTAM 2022-2025:
Presiden:
Mirzan Mahathir
Naib Presiden:
Datuk Patrick CJ Liew
Zainudin Osman
Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan
Setiausaha Kehormat:
Muhammad Shahrul Hafidz Ab Rahim
Bendahari Kehormat:
Hang Kok Long
Anggota Exco:
Muliyadi Jamal,
Fazwil Abdul Wahid,
Maria Fauzana Ghazali,
Mohamad Arffendi Yusof,
Nurizam Mohd Khalid,
Rozana Mohd Mahfudz,
Nor Asri Mohd Norman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!