Harimau Malaya buru kedudukan 100 terbaik dunia
IMPIAN skuad kebangsaan untuk berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia atau menyamai kedudukan Tajikistan dan Thailand bukan misi mustahil, malah ia mampu direalisasikan menjelang 2024.
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, berdasarkan pengamatannya selepas tamat saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai, Malaysia sebenarnya mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan dua pasukan itu.
Justeru jurulatih dari Korea Selatan itu komited dan menyasarkan dalam tempoh dua tahun untuk meletakkan pasukan negara dalam kelompok 100 dunia.
"Saya minta mereka (pemain) buktikan dalam pertandingan (Piala Raja Thailand) ini untuk cuba beri tentangan dengan pasukan yang pada tahap lebih tinggi di kedudukan 100.
“Jadi pemain tunjukkan yang mereka sebenarnya mampu dan kita boleh maju ke depan dan bersaing dengan pasukan lawan. Saya yakin untuk dua tahun lagi kita boleh capai tahap seperti itu,” katanya.
Pan-gon, 53, dilantik sebagai pengendali negara pada Mac lalu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan awal tahun ini.
Dalam saingan Piala Raja Thailand edisi ke-48 itu, Malaysia yang menduduki tangga ke-148 ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hampir mengejutkan skuad tuan rumah dan Tajikistan apabila mengikat kedua-dua pasukan itu.
Skuad Harimau Malaya berjaya mengikat Thailand yang menghuni tangga ke-111 dengan keputusan 1-1 pada perlawanan pertama sebelum menang penentuan penalti 5-3 untuk mara ke final menentang Tajikistan.
Dalam saingan akhir, pasukan lawan yang berada di tangga 109 itu turut gagal menewaskan skuad kendalian Pan-gon apabila seri tanpa jaringan, namun muncul pemenang menerusi penentuan sepakan penalti dengan keputusan 3-0.
Keputusan positif itu membolehkan Malaysia memperbaiki ranking ketika ini.
Dalam tempoh enam bulan, Pan-gon sudah mengharungi sembilan aksi dengan lima kemenangan dan masing-masing seri serta tewas dua perlawanan.
Malaysia ditundukkan Bahrain pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu serta tewas kepada Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Singapura pada Mac.
Kejayaan membanggakan Malaysia ialah pada 1993 apabila menghuni tangga ke-75 dunia, manakala kedudukan ke-178 adalah pencapaian paling buruk dicatatkan pasukan negara pada 2018.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!