ILSC bantu belia OKU dapat peluang pekerjaan

Pei Nei (tengah) bersama rakan strategik ILSC di Hotel De Palma, di sini pada Selasa.
Pei Nei (tengah) bersama rakan strategik ILSC di Hotel De Palma, di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperkenalkan program Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILCS) bagi membantu belia orang kurang upaya (OKU) menguasai kemahiran tertentu dan mendapat peluang pekerjaan.

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas), Gan Pei Nei berkata, inisiatif tersebut berasaskan kemahiran dan kehidupan berdikari bagi golongan OKU berumur 17 tahun hingga 22 tahun yang mempunyai masalah pembelajaran.

Menurutnya, program berkenaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta di bawah portfolio Anak Istimewa Selangor (ANIS).

"Program ILSC melibatkan lima kemahiran utama, iaitu jahitan, bakeri, pengurusan pejabat, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).

"Ia dilaksanakan untuk memberikan manfaat kepada golongan orang (OKU) untuk memiliki kemahiran tertentu bagi mendepani cabaran tertentu," katanya ketika berucap di Hotel De Palma di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Pei Nei berkata, program ILSC dijayakan bersama rakan-rakan strategiknya untuk membantu dari segi latihan dan sumbangan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Ujarnya, inisiatif tersebut diharap dapat mengubah masa depan golongan belia OKU ke arah lebih baik dan menempatkan mereka di alam pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan individu.

"Selepas mereka menamatkan latihan, mereka juga akan mendapat peluang pekerjaan dan sepanjang proses itu, kita akan sediakan perunding untuk membimbing mereka berkaitan permasalahan atau persoalan tentang laluan kerjaya.

Artikel Berkaitan:

"Dengan adanya program ini, ia membuktikan bahawa kami tidak mengabaikan golongan OKU dan memberikan peluang pekerjaan sama rata, di samping boleh berdiri sama tinggi dengan belia normal lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!