Jangan terus menghukum, dekati anak seperti kawan
KISAH seorang isteri yang memuat naik video suaminya yang membakar semua koleksi barangan K-pop anak perempuan mereka hangat diperdebatkan baru-baru ini.
Difahamkan gadis yang masih bersekolah menengah itu menggunakan duit tabungannya untuk membeli item K-pop yang diminati. Ada juga yang dihadiah oleh kenalannya.
Dalam rakaman video berdurasi lebih seminit itu, ibu berkenaan tidak bersetuju dengan tindakan suaminya yang disifatkan bertindak melulu. Baginya, anaknya hanya minat dengan K-pop, bukan sampai peringkat terlalu taasub.
Dari satu sudut, netizen berpandangan prinsip si ayah ‘mencegah daripada merawati’ agak keterlaluan. Ramai sebulat suara mengatakan, seandainya anak mereka jenis yang patuh dan mendengar kata, tiada apa yang perlu dirisaukan.
Bukan suatu yang menghairankan apabila seorang remaja sukakan hal-hal yang menghiburkan. Zaman ini, ledakan K-pop yang meliputi muzik, drama, bahasa dan segalanya bagaikan sudah sebati dengan budak-budak muda, termasuk ‘mak-mak budak’ juga!
Berdasarkan perspektif lain pula, rata-ratanya berpendapat, pada umur 14 hingga 21 tahun, ia merupakan fasa jiwa anak muda mudah memberontak.
Justeru, peranan ibu bapa sangat penting. Sebaik-baiknya dekatkan diri dengan mereka. Bersembang dengan anak-anak seperti seorang kawan dan jadilah pendengar setia.
Benar, tak semua zuriat kita mudah untuk dididik disebabkan watak yang berbeza-beza. Maka, dalam hal ini, kesabaran sangat dituntut.
Pendekatan Rasulullah SAW dalam mendidik anak seharusnya menjadi acuan dan panduan. Dalam Hadis Riwayat al-Bukhari, baginda bersabda: “Setiap bayi yang dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam), maka kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nashrani atau Majusi.”Berdasarkan hadis berkenaan, jelas menunjukkan tanggungjawab memastikan fitrah anak-anak dalam keadaan baik adalah terletak pada tangan ibu bapa.
Sewajarnya golongan itu dilayan dengan lembut dan penuh kasih sayang. Jika mereka melakukan kesalahan, janganlah terus menghukum.
Teliti kesilapan mereka, barulah ambil langkah susulan. Dalam agama suci ini, hukuman perlulah berperingkat iaitu daripada yang ringan kepada yang berat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!