Hamid Bador calon terbaik bertembung dengan Tok Mat
SEREMBAN - Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan yakin mampu memecahkan tembok kuat UMNO di Parlimen Rembau jika bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersetuju mewakili gabungan itu bertanding di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail berkata, walaupun Abdul Hamid bukan ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), namun GTA bersedia memberi ruang kepada semua termasuk individu tertentu yang mempunyai nama besar.
"Bagi saya buat masa ini dialah (Abdul Hamid) calon paling terbaik untuk GTA di Parlimen Rembau. Lagipun dia memang orang Rembau.
"Nak pecahkan tembok yang besar, kita perlu letakkan nama yang besar seperti beliau, lebih-lebih lagi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dikhabarkan akan bertanding di situ kali ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, nama Abdul Hamid dicadangkan kerana beliau disifatkan seorang yang berani bercakap benar dan tegas seperti mana ditunjukkan ketika dalam perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara.
Tambah Mohamad Jani, ciri-ciri kepimpinan sebegitu sememangnya diharapkan oleh rakyat.
"Kalau kita nak betulkan negara, kita perlu letakkan orang ada ciri-ciri begitu.
"Kalau setakat nak letak calon bertanding, saya selaku ketua negeri pun boleh. Tapi hasrat kita, kita nak menang dan boleh bawa suara rakyat dalam Parlimen," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, hasrat itu tidak pernah dibincangkan bersama Abdul Hamid dan hanya disuarakan kepada Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bulan lalu.
"Saya rasa yang hanya boleh pujuk dia (Abdul Hamid) Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad saja," katanya.
Sementara itu, usaha Sinar Harian cuba menghubungi Abdul Hamid untuk mendapatkan kenyataannya masih belum berhasil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!