Messi membara benam Jamaica
BIARPUN dimasukkan sebagai pemain gantian, pemain sensasi Lionel Messi tetap berbisa apabila menyumbat dua gol ketika membantu Argentina membenam Jamaica 3-0 dalam aksi pemanas badan menjelang Piala Dunia hujung tahun ini.
Kemenangan skuad dari Amerika Selatan itu juga menghampiri rekod tanpa kalah Itali.
Bintang Paris Saint-Germain itu melebarkan jaringan antarabangsanya kepada 90 gol daripada 164 penampilan dalam aksi yang berlangsung di Red Bull Arena, Harrison, Amerika Syarikat.
Argentina mengharungi 35 perlawanan tanpa kalah sejak tahun 2019 dibezakan dua kemenangan di belakang rekod dunia milik Itali yang mengharungi 37 perlawanan tanpa kalah dari tahun 2018 hingga 2022.
Messi yang turut menyumbangkan dua gol ketika kemenangan aksi persahabatan ke atas Honduras di Miami Jumaat lalu, masuk menggantikan pemain Inter Milan, Lautaro Martinez pada minit ke-56.
Argentina membuka tirai jaringan menerusi Julian Alvarez pada minit ke-13 setelah menyempurnakan dengan baik umpanan Martinez.
Messi menghasilkan gol pertama peribadi pada minit ke-86 dan kemudian menyempurnakan sepakan percuma untuk menewaskan penjaga gol, Andre Blake untuk jaringan keduanya.
Kehadiran Messi di Red Bull Arena menyebabkan pengawal keselamatan terpaksa bekerja keras apabila tiga kali padang diceroboh peminat yang mahu mendekati bintang Argentina itu.
Salah seorang peminat yang tidak berbaju cuba mendapatkan tandatangan Messi di belakangnya sebelum dijatuhkan oleh pengawal keselamatan.
Argentina kendalian Lionel Scaloni antara pasukan pilihan di Piala Dunia Qatar yang akan bermula pada November.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!