Langkah positif Malaysian Tigers di Belgium
SKUAD hoki lelaki senior negara berjaya menyerap tekanan dengan cemerlang untuk meraih kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan pertama menentang Belgium A pada Selasa.
Pemain senior, Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira apabila meledak gol tunggal menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-35.
Biarpun pasukan lawan menguasai perlawanan, namun para pemain beraksi dengan selesa pada pertemuan yang berlangsung di Sportcentrum Wilrijkse Plein, Antwerp itu.
Ketua Jurulatih skuad senior lelaki kebangsaan, A. Arulselvaraj, memuji barisan pemain yang lebih menguasai perlawanan berbanding lawan terutama di awal permainan.
Beliau juga berpuas hati dengan satu-satunya kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki anak-anak buahnya dapat diterjemahkan kepada jaringan oleh Razie.
“Saya rasa kekuatan kami selepas 10 minggu menjalani latihan kesesuaian fizikal dapat dilihat pada perlawanan ini.
“Walaupun kami bermain dengan 20 pemain yang silih berganti, namun dapat dilihat dari sudut tahap kecergasan dan kemahuan mereka, pemain dalam keadaan selesa,” katanya.
Kemenangan itu memberi suntikan semangat buat skuad Malaysian Tigers yang masih mempunyai baki tiga lagi perlawanan sehingga 5 Oktober.
“Walaupun lawan mempunyai lebih peluang pukulan sudut penalti dan banyak percubaan di dalam kawasan gol kami, namun kelebihan tersebut hanya pada suku keempat dalam tempoh lapan minit sebelum perlawanan berakhir.
“Kami pula menguasai permainan di awal perlawanan,” katanya.
Malaysia akan turun untuk perlawanan kedua menentang Pasukan Utama Belgium pada jam 6 petang Rabu waktu Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!