Cuepacs bantah tubuh agensi tunggal jaga pintu masuk negara

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah penubuhan agensi tunggal bagi menjaga pintu masuk negara.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pelaksanaan tersebut akan mengambil alih keseluruhan peranan dan tugas agensi yang menjaganya termasuk di pelabuhan dan lapangan terbang.

Ujar beliau, agensi sedia ada telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik dan berkesan.

“Mengambil contoh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, jabatan ini bukan sahaja mengawal pintu masuk negara daripada aspek keselamatan tetapi juga bertanggungjawab memungut pelbagai cukai yang menyumbang kepada hasil negara.

“Sejak beberapa tahun dahulu, pencapaian hasil kutipan Kastam sentiasa melebihi sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Ini bermakna Kastam telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan cemerlang.

“Kenapa perlu tugas ini diberikan kepada agensi baharu yang masih belum diketahui keberkesanannya. Ia seumpama kerajaan mahu memperjudikan hasil kutipan hasil negara untuk tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau, sistem kawalan pintu masuk itu yang dikawal pelbagai agensi lebih baik berbanding daripada dikawal hanya satu agensi sahaja.

“Contohnya jika barangan yang diimport adalah ubat-ubatan, Kastam tidak boleh melepaskan dagangan tersebut sebelum diberi kelulusan oleh pihak Farmasi.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan barang dagangan yang memerlukan kelulusan agensi-agensi lain yang terlibat seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan sebagainya.

“Jika terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara ketika ini, kerajaan boleh menambah baik pengoperasian tersebut dan bukannya bertindak menggantikan dengan agensi baharu,” jelasnya.

Adnan menambah, koordinasi lebih baik boleh diwujudkan antara agensi lain yang terlibat sekiranya perkara ini diperhalusi dengan baik.

Beliau menasihatkan supaya kerajaan melakukan rundingan sesi libat urus bersama wakil-wakil dan kesatuan pekerja dalam apa jua keputusan yang membabitkan pemerkasaan perkhidmatan awam.

“Rundingan dan sesi libat urus ini mampu memberi keputusan yang menang-menang antara pihak majikan dan pekerja sekali gus mampu memperkasakan perkhidmatan kerajaan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!