[VIDEO] Banjir: JBPM Kelantan fokus 595 kawasan ‘hotspot’
KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan memberi fokus kepada 595 kawasan 'hotspot' di negeri ini sepanjang fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.
Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, 'hotspot' itu melibatkan tujuh jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
"Kesemua kawasan ini akan diberikan perhatian lebih terutama dari segi persiapan, pemeriksaan dan sebagainya.
"Sepanjang Monsun Timur Laut ini, kita turut memberi fokus kepada kawasan bercerun yang banyak terdapat di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan September 2022 di Dewan Utama JBPM Tunjong di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang Oktober ini sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan semasa banjir.
Menurutnya, dua lokasi iaitu Rantau Panjang dan Tambatan D'Raja dipilih sebagai kawasan latihan bagi meningkatkan kecekapan anggota dan pengujian terhadap kelengkapan menyelamat seperti bot, lori, helikopter dan sebagainya.
Zainal berkata, latihan tersebut penting kerana anggota tidak hanya bergantung kepada modus operandi yang sama setiap kali berlaku bencana tetapi turut mencuba kelainan.
Katanya, pada tahun ini pihaknya meletakkan sasaran sifar kematian.
"Diharap banjir kali ini tidak seteruk sebelumnya.
"Bagaimanapun, pelbagai kemungkinan akan tetap dihadapi dengan adanya kerjasama daripada semua agensi serta kekuatan 1,300 anggota yang sedia ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!