Cadang jadikan baja, racun harga kawalan

Noh (lima dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah pesawah pada Majlis Hari Ladang IADA Barat Laut Selangor di Pukal Blok E Sawah Sempadan di sini pada Rabu.
Noh (lima dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah pesawah pada Majlis Hari Ladang IADA Barat Laut Selangor di Pukal Blok E Sawah Sempadan di sini pada Rabu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kerajaan dicadang melaksanakan dasar menjadikan barangan pertanian seperti baja dan racun dalam senarai harga kawalan bagi menangani kenaikan harga di pasaran.

Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Noh Omar berkata, dasar itu perlu dilaksanakan sebagai usaha membolehkan kerajaan mengawal kenaikan harga input pertanian pada masa ini.

"Kalau harga input pertanian tidak dikawal, bagaimana (kerajaan) hendak mendorong minat terutama golongan muda menjadi pesawah.

"Pesawah ketika ini bukan sahaja berdepan dengan kenaikan kos harga pertanian, sebaliknya berdepan dengan masalah serangan penyakit padi, ribut dan banjir," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Ladang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Pusat Belian Padi Blok E Sawah Sempadan di sini pada Rabu.

Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, cadangan itu akan dibawa kepada jawatankuasa itu pada minggu depan.

Menurut beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melaksanakan pelbagai pendekatan bagi membantu pesawah meningkatkan taraf hidup.

Jelas beliau, antara usaha dilaksanakan itu termasuk menyalurkan semula bantuan kepada pesawah berjumlah RM400 bagi tempoh enam bulan dengan jumlah keseluruhan RM800 setahun untuk dua musim sementara menunggu hasil tuaian padi.

"Insentif ini dahulu pernah diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional, namun dihentikan semasa kerajaan Pakatan Harapan dan kini dikembalikan semula oleh kerajaan," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Noh meminta IADA Barat Laut Selangor terus memberi tumpuan dan sokongan berterusan kepada pesawah bagi memajukan sektor pertanian.

Katanya, pesawah tentunya lebih bersemangat sekiranya hasil pendapatan mereka meningkat sekali gus memperbaiki taraf hidup lebih baik.

"Kita perlu memastikan pesawah seronok dan kekal menanam padi dan jika hasil menurun sudah tentu mereka akan cari jalan keluar lain dan mungkin beralih kepada tanaman sayuran, kelapa sawit atau hanya mengusahakan inap desa.

"Walaupun dari segi peraturan IADA tidak membenarkan, tetapi tatkala hidup rakyat terdesak, tentunya mereka mencari jalan keluar untuk mencari sumber pendapatan lebih baik," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!