'Saya lebih suka sistem Parlimen penggal tetap'
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengakui lebih suka jika sistem Parlimen penggal tetap diguna pakai di negara ini kerana ia dilihat lebih praktikal.
Azhar yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, ia kerana penggunaan sistem itu akan memberi penjimatan kos dan membolehkan persediaan menghadapi pilihan raya dapat dilakukan lebih awal dan rapi.
"Sebagai orang yang pernah berada di SPR, secara praktikalnya saya lebih suka kepada sistem Parlimen penggal tetap sebab SPR akan lebih bersedia.
"SPR boleh buat persiapan awal seperti turun tengok tempat untuk dijadikan pusat mengundi, boleh latih pekerja dan membeli bekalan yang diperlukan" katanya selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama media di bangunan Parlimen pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai cadangan supaya sistem Parlimen penggal tetap diperkenalkan di negara ini.
Azhar menjelaskan, United Kingdom (UK) yang mengamalkan sistem Westminster telah pun mempunyai Akta Parlimen Penggal Tetap supaya Parlimen dibubarkan pada tarikh tetap.
Kata beliau, tanpa penggunaan sistem itu dan jika terus diamalkan sistem Parlimen sedia ada, tarikh sebenar pembubaran Parlimen sukar diramal.
"Ia membuatkan SPR tak tahu bila tarikh sebenar untuk lakukan persiapan pilihan raya dan mereka perlu meneka.
"Situasi ini agak sukar kerana katakan contohnya mereka telah latih 90,000 pekerja pilihan raya tapi pilihan raya tetap tidak dibuat maka mereka kena latih semula pekerja pilihan raya itu kemudiannya agar mereka tetap ingat dengan tugas yang perlu dilakukan," tambah beliau.
Menurutnya, ia juga menyulitkan kerja menempah dewan sebagai tempat pengundian selain kos keseluruhan pilihan raya juga akan menjadi mahal.
"Ada satu peristiwa di Cameron Highlands, dewan yang mahu diguna SPR telah ditempah untuk majlis perkahwinan dan akibatnya memandangkan undang-undang diutamakan, pasangan pengantin itu terpaksa menunda majlis mereka. SPR pula perlu bayar pampasan kepada pengantin tersebut.
"Selain itu, kos untuk mengadakan pilihan raya juga akan jadi mahal kerana SPR akan membuat tempahan di saat akhir.
"Contohnya jika mahu menyewa helikopter, SPR perlu bergantung pada apa sahaja harga yang ditetapkan dan tidak boleh tawar menawar kerana suka atau tidak, pilihan raya perlu dibuat 60 hari selepas Parlimen dibubarkan," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!