Teknik kumpul deposit beli rumah: Usah mengeluh, ada cara betul yang boleh dijadikan panduan
Namun, impian tanpa usaha hanyalah angan-angan kerana hari ini ramai tidak dapat merealisasikan impian untuk memiliki rumah sendiri.
Banyak cabaran jadi punca permasalahan ini antaranya harga rumah semakin meningkat, sukar dapatkan pembiayaan bank, tiada simpanan atau wang untuk deposit, gaji kecil serta kos sara hidup semakin menekan.
Tidak dinafikan ada benarnya cabaran-cabaran ini menyebabkan ramai khususnya anak muda gagal miliki rumah sendiri. Tetapi untuk memberi 1,001 alasan adalah mudah yang akhirnya merugikan diri sendiri.
Berkongsi tip ilmu pengurusan kewangan dan tip mengumpul deposit, Mentor Pejuang Hartanah dan Penasihat Kewangan Ieza Yusof Consultancy Sdn Bhd, Azim Sulaiman yang berpengalaman selama tiga tahun dalam bidang ini, menyarankan setiap individu wajar mencari solusi kepada permasalahan yang mereka hadapi.
Katanya, yang paling penting, adalah fokus kepada cabaran yang boleh diatasi.
Urus kewangan seawal gaji pertama
"Sebagai anak muda atau Gen-Y, saya dapati cabaran tidak mempunyai wang deposit ini adalah cabaran utama majoriti.
"Ada tiga faktor mempengaruhi cabaran ini iaitu mereka yang tidak pernah membuat simpanan atau menabung untuk deposit, mereka yang tidak tahu berapa jumlah deposit diperlukan dan mereka tidak tahu bagaimana cara mengumpul deposit," katanya.
Tambahnya, faktor pertama ini pastinya tidak akan wujud jika mereka mengetahui ilmu pengurusan kewangan seawal gaji pertama.
"Majoriti mereka hanya tahu berbelanja apabila dapat duit gaji dan bayar segala hutang-piutang. Setelah itu, jika ada lebihan wang barulah mereka simpan. Inilah kesilapan besar ramai orang.
"Secara asas, formula pengurusan kewangan terdiri daripada empat perkara utama iaitu perlindungan (10 peratus maksimum daripada gaji bersih untuk takaful dan kad perubatan); pelaburan (20 peratus minimum daripada gaji bersih untuk simpanan, komitmen); kos sara hidup (60 peratus maksimum daripada gaji bersih); dan hobi (10 peratus maksimum daripada gaji bersih).
"Ini bermakna anda wajib asingkan sekurang-kurangnya 20 peratus dari gaji bersih setiap bulan untuk tujuan simpanan, sebelum berbelanja untuk kos sara hidup dan bayar segala hutang seperti pembiayaan kereta dan lain-lain.
Kira-kira kelayakan pembiayaan hartanahFaktor kedua ialah mereka tidak pernah buat kira-kira kelayakan pembiayaan hartanah, katanya.
Tambahnya, faktor kedua itu timbul kerana mereka tidak pernah buat kira-kira hartanah untuk mengetahui berapakah kelayakan pembiayaan hartanah.
"Kelayakan pembiayaan hartanah boleh diketahui dengan membuat semakan dengan pegawai bank. Hal ini memudahkan anda untuk fokus kepada hartanah yang sesuai dengan kelayakan anda, selain membolehkan anda membuat keputusan yang lebih realistik.
"Persoalannya, berapakah jumlah deposit yang diperlukan? Ini bergantung kepada setiap individu. Jika tidak pernah membeli hartanah dan ini adalah rumah pertama, maka seseorang individu perlu sediakan deposit sekurang-kurangnya 10 peratus daripada harga rumah. Ini bermaksud, jika harga rumah tersebut RM150,000 maka perlu sediakan RM15,000 sebagai deposit.
"Bagaimanapun, kiraan ini belum mengambil kira kos-kos lain terlibat seperti duti setem dan bayaran peguam. Justeru, untuk lebih selamat dan mudah, disarankan sediakan tambahan lima peratus daripada harga rumah yang layak dibeli bagi menampung kos-kos ini," katanya.
Tahu teknik kumpul deposit
Sementara itu, faktor ketiga adalah tidak mengetahui teknik kumpul duit deposit yang betul, katanya.
"Bagi segelintir pihak, tiada masalah untuk buat simpanan daripada sumber pendapatan mereka. Bahkan, mereka juga tahu berapa jumlah deposit yang perlu disediakan. Tapi, apa yang jadi masalah ialah mereka tidak tahu teknik kumpul duit deposit rumah mereka. Ada pelbagai teknik boleh digunakan untuk mengumpul deposit.
"Tetapi sebelum itu, mereka perlu senaraikan beberapa perkara terlebih dahulu dan ia merangkumi beberapa faktor," katanya.
Faktor terlibat ialah berapa perlu disimpan setiap bulan (minimum 20 peratus daripada gaji bersih atau RM500 sebulan andai gaji bersih bulanan RM2,500); berapa jumlah deposit perlu ada (15 peratus daripada kelayakan dan kemampuan pembiayaan rumah); dan tempoh masa yang diperlukan.
"Setelah selesai tiga perkara ini, mereka boleh pilih teknik-teknik yang sesuai untuk mencapai matlamat tersebut," katanya.
6 teknik kumpul deposit
1. Teknik PaMa:
Ini adalah antara teknik paling mudah dan terpantas untuk kumpul duit deposit dalam tempoh singkat. Caranya adalah dengan meminjam daripada ibu dan bapa atau dikenali sebagai teknik PaMa (singkatan daripada perkataan papa dan mama). Namun, ia bergantung kepada tahap kewangan ibu bapa.
2. Teknik Crowd Funding
Teknik ini berkonsepkan kumpul dana daripada sumbangan orang ramai. Jangan bimbang, tidak perlu bawa tabung dari satu tempat ke satu tempat untuk minta sumbangan daripada orang ramai. Dengan dunia teknologi kini, anda boleh gunakan platform atas talian seperti laman web GoFundMe.Com untuk membuat crowd funding.
3. Teknik KWSP
Syaratnya anda merupakan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ramai anggap duit simpanan KWSP hanya boleh dikeluarkan setelah bersara. Hakikatnya banyak perkara boleh digunakan daripada simpanan KWSP untuk pelbagai tujuan antaranya pendaftaran haji. Lebih utama ia boleh digunakan sebagai deposit rumah pertama dan kedua. Namun, jumlah dana yang boleh digunakan untuk kesemua tujuan tersebut bergantung pada jumlah dalam Akaun 2 KWSP.
4. Teknik Tin Milo
Andai gaji bersih RM2,500 sebulan, maka jumlah minimum perlu simpan setiap bulan adalah sebanyak RM500 iaitu 20 peratus daripada gaji. Pun begitu, teknik ini tidak sesuai jika anda menetapkan tempoh masa yang singkat sekitar tiga tahun untuk mengumpul deposit sebanyak RM22,500. Ini kerana selepas tempoh tiga tahun, anda hanya berjaya kumpul sekitar RM18,000. Justeru, ia perlukan tempoh lebih panjang.
5. Teknik ASB
Amanah Saham Bumiputera (ASB) antara teknik terbaik untuk bantu kumpul deposit rumah. Bahkan ASB juga adalah platform pelaburan menjamin modal.
6. Teknik Turbo Deposit 2.0: Teknik ini menggabungkan kuasa 'compounding' dan kuasa 'leverage'. 'Leverage' atau lebih dikenali sebagai Other’s People Money (OPM) adalah dengan menggunakan kemudahan fasiliti kewangan seperti pembiayaan bank. Contohnya, jika ingin beli rumah berharga RM150,000, adakah anda perlu ada tunai RM150,000? Sudah tentu jawabnya tidak. Anda boleh beli rumah tersebut guna kuasa 'leverage' iaitu dengan memohon pembiayaan daripada pihak bank.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!