Jangan main politik ketika banjir: Syed Saddiq
KUALA LUMPUR - Jangan bermain politik ketika musim banjir, itu gesaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung desas-desus berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Syed Saddiq berkata, kerajaan harus segera membentangkan pelan mitigasi banjir sebagai persiapan menghadapi bencana itu menjelang musim hujan nanti untuk mengelak perkara sama seperti tahun lalu berulang.
"Kami tidak ingin bermain politik semasa banjir, contohnya di Baling, Kedah bukan sekali dua tetapi tiga kali dilanda banjir dalam tempoh masa yang singkat.
"Kita perlu fokus bukan untuk bertempur rebut undi PRU, tetapi bantu rakyat jika kita bergaduh rakyat yang menderita," katanya ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.
Beliau hadir memberi keterangan berhubung pembabitannya dalam perhimpunan tanpa permit, Nyawa Dulu Baru PRU yang diadakan di hadapan pusat beli belah Sogo di sini Sabtu lalu.
Difahamkan, seramai tujuh individu dipanggil termasuk Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Tengku, Lim Yi Wei; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan seramai tujuh individu telah dirakam keterangan berhubung perhimpunan itu pada Rabu.
"Tujuh orang kesemuanya kami panggil dan tiada lagi akan dipanggil berhubung perhimpunan itu. Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!