'Tak masuk akal teruskan projek LCS dengan BNS' - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Keupayaan pertahanan tentera negara akan terus ketinggalan di belakang negara serantau lain sekiranya kerajaan meneruskan kontrak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dengan Boustead Naval Shipyard (BNS).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, adalah tidak masuk akal untuk meneruskan kontrak sedia ada dengan BNS yang menggunakan spesifikasi sepuluh tahun lalu pada kos yang berkali ganda mahal.

"Kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera kita di belakang negara-negara serantau.

"Kapal LCS yang sepatutnya diserahkan dalam masa satu dua tahun ini dirancang dan dibina menggunakan teknologi sedekad lalu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, sehingga ini rakyat Malaysia masih terkeliru dengan jawapan yang bercanggah mengenai kemajuan projek LCS dan kos yang akan ditanggung rakyat.

Katanya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jawapan yang berbeza berbanding Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berhubung perkara itu.

"Laporan-laporan media memetik Hishammuddin menyatakan bahawa kapal LCS pertama akan mula beroperasi dalam 'satu atau dua tahun' dari sekarang (seperti jawapannya di Dewan Negara pada 8 Ogos 2022). Ini bermakna penyerahan kapal LCS pertama dijangka dalam 2023 atau 2024.

"Kenyataan ini bercanggah dengan tarikh penyerahan seperti yang dinyatakan Affendi dalam satu temu ramah pada 13 September 2022 bersempena Hari Angkatan Tentera," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rafizi menjelaskan, menurut Affendi, jadual penyerahan kapal LCS bagi kapal pertama pada Januari 2026, kapal kedua (September 2026), kapal ketiga (Mei 2027), kapal keempat (Januari 2028) dan kapal kelima (September 2028).

Tegas beliau, maklumat-maklumat yang bercanggah di antara Menteri Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia menimbulkan beberapa persoalan besar yang belum dijawab oleh Hishammuddin.

Ekoran itu, Rafizi meminta Hishammuddin menjelaskan kepada rakyat berapa jumlah sebenar kapal LCS yang dibina di bawah kontrak dengan BNS yang akan disiapkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Selain itu perlu dijelaskan berapa kos keseluruhan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan untuk menyiapkan sejumlah kapal LCS itu dan beritahu juga jadual penyerahan sebenar kapal-kapal ini kepada TLDM.

"Perkara ini penting kerana kelewatan projek LCS sekarang sudah pun meletakkan tentera kita di belakang negara-negara serantau.

"Kapal LCS yang sepatutnya diserahkan dalam masa satu dua tahun ini dirancang dan dibina menggunakan teknologi sedekad lalu," tambahnya lagi.

Rafizi menegaskan, kerajaan sewajarnya membina keupayaan pertahanan yang setanding dengan negara serantau seperti Indonesia.

Ujar beliau, semakan menunjukkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) mempunyai pelan jangka panjang memodenkan armada tentera lautnya.

"Rancangan jangka panjang di bawah program bernama Green Water Navy ini meletakkan sasaran kekuatan armada sebanyak 274 kapal (terdiri dari 110 kapal tempur, 66 kapal peronda dan 98 kapal bantuan) menjelang 2024.

"Setakat ini, TNI sudah mempunyai 12 kapal tempur pesisir di bawah kelas Clurit dan kelas Sampari (walaupun spesifikasi adalah berbeza, kelas-kelas ini dilihat sebagai kapal tempur pesisir yang sesuai bagi perairan Indonesia)," ujar beliau.

Sebab itu, katanya, skandal LCS yang berlaku sewajarnya meletakkan tumpuan negara kepada persoalan peruntukan berbilion ringgit yang dibazirkan akibat penyelewengan sedangkan keupayaan pertahanan negara terus menjadi usang.

Skandal projek LCS sebelum ini menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya pada 4 Ogos lalu mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada BNS untuk projek lima kapal LCS yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!