Himpunan bantah ICERD: Alam Flora kutip 28 tan sampah

Sejumlah 28 tan sampah selepas perhimpunan ICERD
Sejumlah 28 tan sampah selepas perhimpunan ICERD
A
A
A

KUALA LUMPUR - Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mengutip sejumlah 28 tan sampah selepas perhimpunan bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berlangsung di beberapa kawasan di pusat bandar ibu negara semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata, seramai lebih 80 pekerja terlibat dalam operasi kutipan sampah selama lima jam itu.

"Sebanyak 12 buah jentera permbersihan serta lebih 80 pekerja telah mengutip sampah, membersih dan mencuci jalan-jalan utama yang terlibat dalam perhimpunan tersebut dari jam 6 petang hingga 11 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial situasi selepas himpunan berkenaan yang dikatakan lebih bersih berbanding beberapa himpunan aman yang pernah dianjurkan di Kuala Lumpur sebelum ini.

Gambar peserta himpunan yang bertindak mengutip sampah juga mendapat reaksi positif netizen.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff, berkata, pihaknya mengakui kebersihan kawasan terlibat dengan perhimpunan berkenaan berada pada tahap yang baik selepas tamat waktu berhimpun.

Ujarnya, kutipan sampah oleh Alam Flora adalah dari bungkusan-bungkusan sampah besar yang telah dikumpulkan oleh peserta perhimpunan.

"Kita dapati mereka tidak membiarkan sampah bertaburan sebaliknya mengutip sampah sebaik sahaja selesai berhimpun. DBKL menyambut baik sikap sebegini bagi memastikan kebersihan Kuala Lumpur lebih terjaga," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!