PRU15: Anak muda perlu dididik pilih individu bersih rasuah

Datuk Dr Hasan Bahrom. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Datuk Dr Hasan Bahrom. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Anak muda harus dididik agar memilih pemimpin atau individu yang bersih dan bebas daripada rasuah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, golongan muda seharusnya diberi pendidikan tentang perkara ini.

“Kalau parti politik itu ada perkara-perkara atau individu yang terlibat dengan elemen rasuah, maka anak muda harus berani menyatakan sikap dan pendirian supaya menolak orang ini.

“Jika anak muda ada keberanian tentang perkara ini, saya yakin bahawa kepimpinan atau negara kita akan bersih daripada nilai-nilai rasuah,” katanya ketika menjadi panel dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Parahnya Rasuah: Menjunjung Titah Sultan Perak’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program Kompas Rasuah Busters bersama (dari kiri) moderator, Anim Ezati Rizki; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Kompas Rasuah Busters bersama (dari kiri) moderator, Anim Ezati Rizki; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Turut menjadi panel, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid manakala Anim Ezati Rizki bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Hasan turut melihat sistem pendidikan negara ini tidak begitu menitikberatkan atau membicarakan secara mendalam soal rasuah.

“Apa yang ada di dalam sistem pendidikan kita ialah soal membina moral yang baik tetapi tidak membicarakan soal berhubung kait bagaimana kalau melaksanakan rasuah itu akan memberikan kesan kepada kehidupan bernegara dan bermasyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, walaupun ada pendidikan rasuah kepada masyarakat, tetapi tidak ada satu silibus mengenainya dalam kursus-kursus sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau universiti.

“Cuma baru-baru ini sahaja, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada membicarakan supaya silibus rasuah ini dimasukkan dalam kursus di universiti atau sekolah menengah.

“Maknanya satu pekara yang baru diketengahkan, bukan satu perkara sejak dahulu diketengahkan tentang rasuah,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!