Anwar pertimbang tandingi kerusi Parlimen 'pengkhianat' PKR, PH
PETALING JAYA - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan, hasratnya untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh 'pengkhianat' PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR itu bagaimana pun tidak menyatakan secara spesifik mengenai kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada PKR dan PH.
"Secara jujur saya belum ada pilihan lagi (Parlimen) untuk ditandingi tapi dalam pertimbangan adalah kerusi pengkhianat (PKR dan PH)...misalnya jika parti kata bertanding di Gombak (Parlimen) saya bertanding di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS), di sini hari ini.
Anwar berkata, ketika ini sentimen dan sokongan yang diterimanya di Port Dickson kuat dan lebih baik berbanding ketika bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada Oktober 2018.
Ahli Parlimen yang keluar PKR dan sertai Bersatu ialah Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!