Inisiatif bela warga Pertahanan


Hishammuddin (empat dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan RM15,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 1, di Sungai Udang pada Rabu.
Hishammuddin (empat dari kiri) menyampaikan replika cek sumbangan RM15,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Terendak 1, di Sungai Udang pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan lapan inisiatif bagi menambah baik aspek pendidikan dan membela kebajikan warga Pertahanan termasuk anak-anak Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula tahun ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif pertama dengan mewujudkan program Dermasiswa Premium iaitu pemberian RM5,000 secara one-off kepada anak warga ATM dan Veteran ATM yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti yang berada di tangga 100 terbaik dunia.

Menurutnya, inisiatif kedua akan memperkenalkan Skim Penabungan Anak-anak ATM Rukun Kelima (SPARK) yang melibatkan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Arah Pendidikan ATM.

Katanya, langkah ini bagi membantu lebih 13,500 anak anggota ATM yang bersekolah dalam kem (SDK) membuka akaun simpanan secara percuma dengan Tabung Haji yang membabitkan kos keseluruhan RM675,000.

Hishammuddin (tengah) ketika melawat sebuah kelas di MRSM Kem Terendak, Sungai Udang.
Hishammuddin (tengah) ketika melawat sebuah kelas di MRSM Kem Terendak, Sungai Udang.

“Inisiatif ketiga pula, anak-anak anggota ATM di SDK yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibantu bagi meningkatkan tahap penguasaan dan pencapaian akademik di bawah Program Sentuhan Elite SPM.

“Ia melibatkan kolaboratif antara guru-guru pakar dari Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dengan pembiayaan RM150,000 bagi program ini,” kata Hishammuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke MRSM Kem Terendak, Sungai Udang di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Exco Pendidikan, Teknologi dan Komunikasi, Datuk Rais Yasin.

Berkemahiran

Bagi inisiatif keempat, katanya, program Train and Place dengan jalinan kerjasama Yayasan Peneraju akan dilaksanakan khusus untuk anak-anak warga ATM dan veteran yang mempunyai kecenderungan dalam bidang berkemahiran terutamanya dalam pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Dengan adanya program ini, beberapa industri akan berkolaboratif sebagai penyedia latihan bagi penajaan kursus-kursus yang mempunyai padanan kerja dengan industri berkaitan.

“Pihak industri akan melatih pelajar, seterusnya wajib menawarkan tempat untuk pelatih-pelatih terus bekerja apabila tamat latihan di syarikat mereka,” jelas Hishammuddin.

Inisiatif seterusnya, kata beliau, melibatkan Program Penajaan Asasi Sastera Bersama UNIRAZAK bagi membolehkan 2,500 anak warga, ATM dan veteran ATM mengikuti pengajian percuma di peringkat Asasi Sastera.

Tambahnya, turut disediakan inisiatif Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ATM dengan pemberian RM1,500 kepada anak warga ATM yang cemerlang dalam SPM.

Menurut beliau, Mindef turut menyediakan inisiatif Bantuan Kemasukan Ke IPTA dengan peringkat permulaan seramai 64 anak warga ATM terpilih yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) peringkat ijazah sarjana muda menerima RM1,000.


Hishammuddin (dua dari kiri) mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan ke RKAT Taming Sari, Sungai Udang.
Hishammuddin (dua dari kiri) mendengar taklimat ketika mengadakan lawatan ke RKAT Taming Sari, Sungai Udang.

Inisiatif terakhir adalah pemberian komputer riba kepada 150 orang anak warga ATM, anak warga awam Mindef dan anak veteran yang telah mendapat tawaran pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA sesi akademik 2021/2022 dengan kos keseluruhan berjumlah RM450,000.

“Kesemua perancangan itu membuktikan kementerian serius untuk membantu anak-anak warga Pertahanan mendapat perkhidmatan pendidikan yang berkualiti dan lebih penting, memastikan kecemerlangan pendidikan mereka terus berkesinambungan.

“Mindef dan ATM akan terus duduk semeja dengan pemegang taruh supaya lebih banyak lagi idea serta pandangan untuk menambah baik inisiatif pendidikan ATM dapat diperhalusi bersama seterusnya dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.

Jelas Hishammuddin, langkah itu termasuk kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengenal pasti ruang-ruang kerjasama yang tidak hanya memanfaatkan anak-anak ATM tetapi juga pelajar awam lain di seluruh negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!