Misi serampang dua mata di Chonburi
SKUAD negara mahu menjadikan Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 pentas melonjak perkembangan positif sukan itu di negara ini.
Itu keazaman pengendali skuad negara, Wan Adremy Indera Wan Adnan yang mengemudi pasukan negara dibarisi 14 pemain dalam edisi kali ini.
“Harapan sudah semestinya mahu menjadi pasukan terbaik dalam kejuaraan ini, selain perbaiki ranking skuad bola sepak pantai negara.
“Namun sejujurnya, kami mahu membuka mata semua pihak menerusi keberhasilan positif di Chonburi kali ini bagi memastikan sukan ini terus diberi peluang dan ruang berkembang di Malaysia.
“Ia juga bagi memastikan lebih banyak kejohanan bola sepak pantai dianjurkan di peringkat negeri, kelab dan universiti supaya lebih ramai pemain baharu dibentuk pada masa depan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Kejuaraan Bola Sepak Pantai AFF 2022 di Chonburi, Thailand dijalankan dengan format liga satu pusingan bakal menyaksikan pasukan negara berentap dengan Thailand dan Indonesia.
Mengenai persiapan pasukan, Wan Adremy Indera berkata, pasukan itu hanya menjalani latihan intensif selama enam hari bagi mengharungi kejuaraan tersebut.
“Biarpun hanya berlatih dalam tempoh singkat selama enam hari, namun dalam kalangan pemain telah pun beraksi bersama pasukan masing-masing dalam Liga King of The Beach Soccer.
“Liga anjuran Allahyarham coach Ismail Zakaria telah dimanfaatkan setiap para pemain bagi membentuk keserasian dan kefahaman dalam taktikal intensiti permainan
“Tiga muka baharu sahaja yang terdapat dalam skuad kali ini, selebih merupakan para pemain yang telah bermain bersama sebelum ini,” katanya yang menyasarkan kedudukan terbaik dalam kalangan tiga pasukan bertanding kali ini.
JADUAL KEJUARAAN BOLA SEPAK PANTAI AFF 2022
KHAMIS (29 SEPTEMBER)
Malaysia lwn Indonesia, jam 5 petang
SABTU ( 1 OKTOBER)
Malaysia lwn Thailand, 4.30 petang
*Semua perlawanan berlangsung di Pantai Pattaya, Chonburi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!