Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini
BURSA Malaysia diniagakan lebih tinggi pada sesi awal dagangan pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang bertambah baik.
Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.63 mata kepada 1,408.52 daripada 1,401.89 pada penutupan urus niaga Rabu, selepas dibuka 5.5 mata lebih tinggi pada paras 1,407.39.
Pergerakan harga di pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 260 berbalas 56, manakala 157 kaunter tidak berubah, 1,928 tidak diniagakan dan 57 yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 123.66 juta unit bernilai RM57.47 juta.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan kemunculan beberapa aktiviti pembelian hari ini khususnya dalam kaunter berkaitan perbankan dan teknologi.
"Justeru, kami mengunjurkan indeks berada dalam julat antara 1,405-1,420 hari ini walaupun keadaan pasaran masih kekal berhati-hati," kata Bernama hari ini.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank menokok dua sen menjadi RM4.28, Petronas Chemicals menambah empat sen kepada RM8.41, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing mengukuh enam sen untuk mencatatkan RM5.17 dan RM5.99 manakala Maybank dan Hong Leong Bank tidak berubah pada RM8.56 dan RM20.44.
Bagi saham aktif, PT Resources naik dua sen menjadi 43.5 sen, Top Glove memperoleh 1.5 sen kepada 60.5 sen, Tanco lebih tinggi satu sen kepada 30.5 sen manakala Velesto, Sapura Energy dan SNS Network masing-masing tidak berubah pada 11.5 sen, empat sen dan 27 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 53.3 mata kepada 10,062.75, FBM 70 mengembang 88.48 mata kepada 12,255.13 dan Indeks FBMT 100 naik 52.07 mata menjadi 9,812.58.
Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah menokok 50.63 mata kepada 10,124.4 dan FBM ACE naik 31.54 mata kepada 4,687.44.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga lebih kukuh sebanyak 11.69 mata pada 682.01, Indeks Perladangan meningkat 46.91 mata kepada 6,505.99, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 67.04 mata menjadi 15,990.66 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.43 mata kepada 177.58. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!