16 pasukan sahut cabaran Kejohanan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) meneruskan komitmen menyemarakkan gaya hidup bersukan dengan penganjuran Kejuaraan Bola Jaring Terbuka Kebangsaan merebut Piala Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Besar Perak Darul Ridzuan.
Menurut Penolong Naib Canselor (InQKA) UiTM, Profesor Dr Azizah Abdullah, penganjuran kejohanan acara sukan yang melibatkan penyertaan golongan wanita sangat kurang di negara ini.
Sehubungan itu katanya, penganjuran kejohanan ini secara tidak langsung diharap mampu melahirkan para pemain berbakat yang berpotensi mewakili negara pada masa depan.
Tegasnya, kejohanan ini juga antara medium terbaik melonjakkan nama UiTM dan Persatuan Bola Jaring Negeri Perak yang menjadi penganjur utama sukan tersebut di negeri berkenaan.
“Penganjuran ini juga berpotensi untuk membuka ruang dan memberi impak kepada universiti untuk membina jaringan industri bersama jabatan dan agensi sukan sekitar Perak.
Ia secara tidak langsung memberi pendedahan dalam aspek pengurusan dan pengelolaan sesuatu kejohanan kepada jawatankuasa sukan pelajar yang terlibat secara langsung sebagai penganjur dalam kejohanan kali ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada UiTM Cawangan Perak, Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia (BSKM) Negeri Perak, Persatuan Bola Jaring Negeri Perak dan Majlis Sukan Negeri Perak yang bertungkus lumus bekerjasama demi menganjurkan edisi sulung,” katanya pada Rabu.
Untuk rekod, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah hadir menyempurnakan majlis prapelancaran kejohanan tersebut di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
Turut hadir Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Ts. Sr Dr Md Yusof Hamid; Yang DiPertua Persatuan Bola Jaring Malaysia, Alwiyah Talib; Yang DiPertua Persatuan Bola Jaring Negeri Perak, Tengku Datin Seri Noor Hazah Al Hajjah.
Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Mazlan Mohamad berharap semua persiapan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar.
“Sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Ia juga mampu menjadi wadah penting dalam usaha kita untuk membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang harmoni dan bersatu padu,” katanya.
Kejuaraan di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 23 Oktober ini.
Edisi sulung ini bakal menyaksikan penyertaan 16 pasukan yang terdiri daripada pasukan negeri, institusi pengajian tinggi awan dan swasta termasuk penyertaan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (Maksak).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!