Ratu cantik Myanmar dapat suaka politik di Kanada

Thaw Nandar Aung. - Foto Reuters.
Thaw Nandar Aung. - Foto Reuters.
A
A
A

TORONTO - Seorang Ratu Cantik Myanmar, Thaw Nandar Aung yang bersuara menentang rampasan kuasa tentera di tanah airnya tiba di Kanada pada Rabu yang mana dia diberikan suaka politik selepas terkandas di sebuah lapangan terbang di Thailand.

Menurut Tin Maung Htoo dari Burma Canadian Action Network yang memberitahu AFP, Aung yang lebih dikenali dengan gelaran profesionalnya, Han Lay selamat tiba di bandar raya Toronto.

Dia kini sedang menunggu penerbangan ke Charlottetown di timur Kanada di mana dia merancang untuk menetap dan meneruskan aktivitinya menentang rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan awam Myanmar.

Sebelum ini kerajaan awam dibentuk di negara tersebut hasil perjuangan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang kini dipenjarakan oleh tentera atas kesalahan rasuah dan penipuan pilihan raya.

Htoo juga mengesahkan bahawa tuntutannya untuk suaka politik ratu cantik tersebut di Kanada telah diterima.

Sebelum berlepas ke Kanada, ratu cantik itu telah ditahan di sebuah lapangan terbang antarabangsa utama Bangkok selama hampir seminggu selepas tiba dari Vietnam kerana mengalami masalah dengan pasportnya.

Dia tinggal di Thailand sejak melarikan diri dari Myanmar pada tahun lepas.

Ratu cantik itu menjadi tajuk utama pada Mac 2021 apabila dia menggesa dunia untuk menyelamatkan rakyat Myanmar daripada pihak tentera yang telah merampas kuasa pada Februari tahun itu. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!